Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 123,000 rakyat Palestin tinggalkan kediaman mereka di Gaza - PBB

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih 123,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Semenanjung Gaza ketika konflik Palestin-Israel semakin memuncak, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) pada Ahad, lapor Sputnik.

"Sehingga 9 malam, 123,538 rakyat Palestin telah dipindahkan di Gaza," menurut OCHA dalam satu kenyataan.

Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu. Tentera Israel mendakwa Hamas melancarkan lebih 3,000 roket, sambil menambah bahawa berpuluh-puluh tentera Hamas menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel.

Tentera Israel telah menghantar tentera ke wilayah selatan untuk menakluk semula kawasan itu dan mula melancarkan serangan ke atas Hamas di Gaza.

Kerajaan Israel mengumumkan pada Ahad bahawa ia telah menggunakan Artikel 40 Undang-undang Asas, yang bermaksud negara itu secara rasmi memasuki keadaan perang.

Menurut laporan, beratus-ratus kematian direkodkan manakala beribu-ribu cedera akibat konflik itu.

- Bernama