Skip to main
Logo Malaysiakini

AMK seru demo solidariti untuk Palestin Jumaat ini

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Sebagai menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin, satu himpunan solidariti untuk Palestin akan diadakan selepas solat Jumaat minggu ini bertempat di Surau Tabung Haji, Jalan Tun Razak, di ibu negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli ketika memaklumkan perkara ini berkata himpunan tersebut juga terbuka kepada semua termasuk pemimpin pembangkang.

"Kami menjemput seluruh anak muda dan rakyat Malaysia serta pimpinan negara dan masyarakat untuk bersama-sama pada hari tersebut bagi menyatakan sokongan kita terhadap rakyat Palestin yang dizalimi.

“Secara kasarnya kita sudah mula berurusan dari segi perundangan dengan pihak polis dan sebagainya bagi memastikan yang dirancang ini berjalan dengan lancar dan mematuhi undang-undang.

“Kita terbuka dengan semua orang (termasuk wakil rakyat pembangkang). Pentas tersebut terbuka dan kita telah berhubung,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan menyeru komuniti antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk berlaku adil dalam menanggapi konflik yang berlaku di Palestin.

Malah, usaha bagi mencari punca sebenar konflik itu perlu dibuat dengan tidak semata-mata menuding jari kepada rakyat Palestin yang memperjuangkan kemerdekaan tanah air mereka, kata Adam.

"Anak muda Malaysia juga menggesa agar semua negara dan warga dunia yang bertamadun dan berperikemanusiaan agar menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan diplomatik dengan Israel yang secara tidak langsung menidakkan keabsahan Palestin sebagai negara yang merdeka dan dizalimi," katanya.

Adam yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya turut meminta kerajaan supaya segera menghulurkan segala bentuk bantuan termasuklah bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada rakyat Palestin.

"Kami menggesa agar Majlis Keselamatan PBB bertindak dengan segera bagi menghentikan penjajahan rejim Zionis ke atas wilayah Palestin yang bergolak," tegasnya lagi.