Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Serangan Al-Qassam dedah kelemahan pertahanan Israel?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Soalan yang ditanya apakah yang membuatkan Hamas menyerang regim pengganas Israel? Apa yang membuatkan Hamas membara pada pagi Sabtu lepas sehingga melancarkan 5,000 hingga 7,000 roket ke atas wilayah Selatan regim haram Israel?

Hamas mengatakan serangan itu didorong oleh peningkatan serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Tebung Barat, Baitulmaqdis dan kekejaman ke atas tahanan Palestin di penjara-penjara Israel.

Pemimpin sayap militer Hamas, Briged Al-Qassam, Mohammed Deif, mengumumkan ia sebagai “Operasi Badai Al-Aqsa.”

Boleh dikatakan pada setiap hari tentera pengganas regim haram Israel menyerbu kawasan bandar, kampung dan kemah pelarian penduduk Palestin di wilayah-wilayah yang diduduki dan menceroboh kawsan Masjid Al-Aqsa dan membiarkan kumpulan pelampau Yahudi dan peneroka haram memasuki kawasan Al-Aqsa.

Mereka merempuh rumah-rumah penduduk Palestin, menahan sesiapa yang mereka syaki dan kebanyakan masa membunuh penduduk Palestin termasuk wanita, kanak-kanak dan orang tua.

Dunia Barat menyaksikan sahaja situasi yang berlaku kerana pihak berkuasa Israel menggunakan alasan “hak untuk mempertankan diri.”

Apakah Palestin tidak boleh mempertahankan diri mereka apabila diserang Israel?

Pendirian pemimpin dunia Barat

Beberapa minit selepas insiden serangan Hamas, Stephanie Hallett, jurucakap di Kedutaan AS di Baitulmaqdis menulis: “Agak memualkan dengan imej kematian dan kecederaan orang awam di tangan pengganas dari Gaza. AS berdiri bersama Israel.”

Bahkan negara-negara Barat lantang mengecam serangan yang dilakukan pergerakan Hamas di wilayah Israel apabila menyifatkannya sebagai “tindakan keganasan”.

Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell menegaskan serangan itu perlu dihentikan segera kerana keganasan tidak menyelesaikan apa-apa.

Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock menyatakan “Hamas menyumbang kepada keganasan yang tidak sepatutnya” dan Israel memperoleh solidariti penuh daripada komuniti antarabangsa.

Katanya, Israel mempunyai hak yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa. Selain itu, Menteri Luar Britain, James Cleverly turut mengutuk serangan tersebut.

Pemimpin Barat lain yang mengecam tindakan tersebut termasuk Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte.

Bagaimana Briged Al-Qassam dengan senjata Kalashnikov tanpa helmet perang atau jaket tentera kalis peluru dapat masuk ke wilayah Israel yang dikawal oleh sebuah negara keempat atau kelima terkuat di dunia daripada segi persenjataan?

Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan, kelemahan dan kegagalan kepada strategi penangkis Israel. Di manakah dron dan kamera pemantauan Israel semasa serangan berlaku?

Seolah-olah semuanya lumpuh. Israel yang dikatakan mengawal penuh rangkaian komunikasi Gaza tentu mengetahui lebih awal jika berlaku sebarang rancangan serangan dan boleh mengelakkannya?

Serangan mengejutkan ini menunjukkan Hamas organisasi yang mentadbir sebuah kerajaan di Gaza tentunya mempunyai persenjataan tahap tinggi dan perancangan yang tersusun dalam mengatur serangan ke atas regim haram Israel.

Kesan jangka panjang

Memang cukup memalukan bagi Israel apabila Briged Al-Qassam melancarkan serangan darat, laut dan udara. Serangan Hamas ini membongkarkan kegagalan perisikan dan pertahanan ketenteraan Israel, sesuatu yang memalukan!

Kelaraan Israel ini tentulah akan membawa Israel melakukan serangan membalas dendam.

Sejauh manakah mereka akan melancarkan serangan ini, adakah mereka ingin menjadikan Gaza bagaikan padang jarak padang terkukur? Mereka tentu akan melancarkan serangan menggila dan tanpa peri kemanusiaan lagi.

Tetapi regim haram ini juga harus mempertimbangkan kesan berpanjangan daripada serangan mereka yang penuh kejam dan membunuh itu kerana ia akan membawa kepada campur tangan China dan Rusia di Timur Tengah.

China sudah melakukan banyak usaha pemulihan damai di Timur Tengah, mendamaikan hubungan Arab Saudi dan Iran, mengadakan hubungan dagang dengan Arab Saudi tentunya tidak ingin konflik Hamas-Israel berpanjangan.

Rusia yang mempunyai hubungan yang baik dengan Syria tentu tidak mahu konflik ini berlanjutan di Timur Tengah.

Strategi Hamas menyerang wilayah Israel akan membawa tumpuan dunia kepada Timur Tengah dengan meminggirkan perang Ukraine-Russia di mana Nato memainkan aktor belakang tabir.

Apa yang penting untuk diperhatikan dalam serangan mengejut Hamas, Jihad Islam bersama sokongan dan hubungan regim haram Israel dengan Al-Qassam dan Jihad Islam di Gaza dan bersama AL Quds dan Batalian Jenin akan mengalami perubahan. Walaupun jika serangan itu berhenti, hubungan tentu tidak sama lagi.

Serangan ini akan merubah status-quo hubungan regim haram dengan Gaza dan Tebing Barat yang bukan lemah dan tidak mudah tunduk kerana pihak regim haram tidak boleh melakukan sesuka hati mereka dengan menyerang, membunuh dan menzalimi penduduk Palestin.

Ini adalah kesan jangka panjang dan strategik dan akan merubah bagaimana regim haram akan membentuk hubungan dengan Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Sejauh manakah serangan tersebut akan menjejaskan proses normalisasi Arab Saudi-regim haram Israel tidak dipastikan? Apa yang dapat Arab Saudi lakukan bagi menghentikan serangan menggila Israel ini?

Dunia harus melihat karakter regim pengganas yang kejam ini dalam serangan balas ke atas Gaza.

Negara Islam, kuasa besar Rusia dan China dan negara yang menyokong perjuangan penduduk Palestin harus bersatu dalam memberikan tekanan kepada regim haram ini agar menghentikan segera segala pembunuhan, kekejaman regim pengganas Israel ke atas Palestin! Mereka harus menghormati Palestin dan penduduknya sebagai sebuah negara berdaulat!


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.