Skip to main
Logo Malaysiakini

Jerebu dijangka tidak berpanjangan - Nik Nazmi

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan jerebu dalam negara tidak akan berpanjangan memandangkan tiupan angin yang kerap berubah, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bagaimanapun Nik Nazmi berkata Operasi Pembenihan Awan akan dilakukan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) semakin merosot iaitu mencecah 151 hingga 200 melebihi 24 jam.

Kata Nik Nazmi, MetMalaysiamenyediakan ramalan sehingga lima hari tentang pergerakan jerebu rentas sempadan yang dijana menggunakan Model Ramalan Pergerakan Jerebu iaitu Hybrid Single-Particle Lagrangian Integrated Trajectory (HYSPLIT) dan Copernicus Atmospheric Monitoring Service (CAMS).

"Output ramalan pergerakan jerebu juga dimaklumkan kepada orang awam melalui laman web METMalaysia," katanya sewaktu sesi penerangan isu jerebu dalam negara, di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya lagi, MetMalaysia telah melaksanakan penambahbaikan ke atas sistem Fire Danger Rating System (FDRS) denganmemberi ramalan tujuh hari lebih awal bagi memantau potensi berlakunya kebakaran terbuka.

"Semua negara Asean telah memberikan sokongan untuk menggunakan sistem ini bagi membolehkan langkah-langkah pencegahan awal, persediaan rapi dilaksanakan bagi menangani jerebu merentas sempadan," katanya lagi.

Menurut Nik Nazmi, kementeriannya telah memulakan langkah-langkah kesiapsiagaan sejak awal tahun demi memastikan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat bagi menghadapi fenomena jerebu.

"Kementerian juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan juga komuniti melalui pelaksanaan pelbagai tindakan dan strategi termasuk memastikan penyampaian maklumat yang tepat, memastikan pemantauan kualiti udara dan cuaca secara berterusan serta pencegahan kebakaran terbuka," katanya lagi.

Setakat awal hari ini, sebanyak lapan kawasan mencatatkan IPU pada paras tidak sihat dengan Cheras di Kuala Lumpur yang tertinggi merekodkan bacaan 157.

Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar di lima kawasan di Selangor merakamkan bacaan IPU melebihi 100 iaitu Banting (156), Klang (155), Petaling Jaya (143) serta Shah Alam dan Johan Setia masing-masing mencatatkan 153.

Kawasan Nilai di Negeri Sembilan pula merekodkan bacaan IPU 151 manakala Bukit Rambai, Melaka 153.

Sementara itu, sejumlah 56 lagi kawasan merekodkan bacaan IPU sederhana (51 ke 100), manakala empat kawasan lain mempunyai bacaan IPU baik iaitu kurang daripada 50.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51 ke 100 sederhana, 101 ke 200 tidak sihat, 201 ke 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.