Skip to main
Logo Malaysiakini

Bahan letupan buatan sendiri: Polis berkas lelaki tempatan, wanita asing

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis menahan seorang lelaki tempatan dan rakan serumahnya seorang wanita warga asing susulan penemuan satu bungkusan mengandungi bahan letupan buatan sendiri (IED) di tingkat empat Flat Taman Pandan, di Butterworth, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ,ACP Mohd Asri Shafie, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan terdengar bunyi letupan di hadapan sebuah rumah pada jam 12.57 tengah hari.

Menurutnya, saksi kejadian berkenaan kemudian menemukan satu bungkukan IED di kaki lima tingkat empat flat berkenaan pada jam 1.05 tengah hari.

“Susulan itu, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB), Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan ke lokasi kejadian.

Tiada kaitan aktiviti keganasan

“Hasil pemeriksaan mendapati bahan letupan terbabit adalah ‘improvised explosive device (IED)’,” katanya, dalam kenyataan di Butterworth, hari ini.

Katanya, suspek lelaki ditahan di bawah flat berkenaan pada jam 8.30 malam hari yang sama dan berpandukan hasil soal siasat, polis menyerbu rumah sewanya di tingkat empat flat berkenaan dan menemukan satu lagi IED, selain sepucuk pistol buatan sendiri dan kerambit serta peralatan untuk membuat bahan letupan tersebut.

Mohd Asri berkata hasil soal siasat, suspek mengaku belajar membuat bahan letupan serta pistol melalui internet manakala bahan-bahannya diperoleh melalui pembelian di platform e-dagang.

Katanya, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, beliau berkata kes berkenaan tiada kaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.

Katanya, suspek lelaki berusia 32 tahun dan rakan serumah wanita berusia 38 tahun yang merupakan pekerja kilang itu kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

- Bernama