Skip to main
Logo Malaysiakini

Sistem pantau gaji pekerja asing e-Wages masih perlu diperhalusi 

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pelaksanaan sistem pemantauan pembayaran gaji pekerja asing atau e-Wages masih perlu diperhalusi dengan pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan. 

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan teknologi digital seperti rantaian blok (block chain).

Kata Mustapha, kementerian juga memerlukan masa untuk membuat penelitian dan perbincangan lanjut dengan pihak berkaitan, termasuk Bank Negara. 

Menurutnya, penelitian itu juga perlu dinilai berdasarkan pindaan Akta Kerja 1955 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari yang memperkenalkan klausa baru, iaitu seksyen 25 dan 25 (A). 

Mustapha Sakmud

Klausa tersebut memberi kuasa kepada menteri untuk membenarkan apa-apa instrumen pembayaran upah lain yang termaktub bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. 

“Atas dasar ini, maka Kementerian Sumber Manusia melihat terdapat pelbagai implikasi yang akan wujud sekiranya e-Wages dilaksanakan tanpa penglibatan institusi kewangan. 

“Ini kerana beban pembuktian akan jatuh di pihak pekerja sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan majikan dari segi pembayaran gaji. 

“Sehubungan itu, penelitian dan perbincangan lanjut berhubungan e-Wages dengan pihak-pihak berkepentingan yang dinyatakan adalah masih diperlukan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Terdahulu, M Saravanan (BN - Tapah) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan status pelaksanaan sistem e-Wages yang ditangguhkan sebelum ini.

Sistem itu diumumkan pada 20221 lagi bagi memantau pembayaran gaji bulanan pekerja secara masa nyata bagi memastikan gaji mereka dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan untuk menyelesaikan isu berbangkit melibatkan kadar caj RM1 sebulan ke atas setiap pekerja asing – yang dikatakan terlalu tinggi, diikuti aspek keselamatan data dan integriti serta pelan komunikasi medium.