Dijual pada sindiket pemerdagangan orang
Pada satu lewat petang April lalu, David (bukan nama sebenar) menerima tawaran yang boleh diibaratkan orang mengantuk disorongkan bantal, tiba tatkala pemilik perniagaan aksesori telefon bimbit di Sarawak itu dalam kebuntuan bagi meningkatkan pendapatannya.
Seseorang dalam kumpulan rakan WhatsApp yang disertainya mengusulkan satu peluang perniagaan sambil bercuti di Chiang Mai, Thailand. Lebih mengujakan, individu itu yang David anggap “sekadar kenalan” turut menawarkan untuk menanggung kos perjalanannya dan seorang rakan.
Dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak fasih, ada masa dibantu oleh penterjemah, pemuda berusia 22 tahun itu memberitahu Bernama bahawa terlintas juga di hatinya, mengapa lelaki yang dipanggil Steven tersebut begitu pemurah, sementelah baru dikenali beberapa bulan.
Akan tetapi, dia memutuskan untuk tidak mensia-siakan rezeki yang datang bergolek.
Siapa sangka keputusan itu menjebak dia dan rakannya Laura (bukan nama sebenar), juga anak Sarawak yang seusianya, dalam mimpi ngeri. Bukan Steven yang mereka temui di kawasan pelancongan tanah tinggi Chiang Mai itu, sebaliknya dua anak muda terbabit diculik dan dibawa merentas sempadan melalui Chiang Rai, Thailand. Penculik kemudian menjual mereka kepada pusat penipuan di Laukkaing, Myanmar, di mana mereka ditahan selama dua minggu.
Ditemui Bernama di pangsapuri rakannya, beberapa bulan selepas melalui pengalaman menakutkan itu, David bagaikan masih tidak percaya yang dia menjadi sebahagian daripada ratusan, jika tidak ribuan, rakyat Malaysia yang diperdaya dan diseludup untuk bekerja sebagai penipu dalam talian.
Apatah lagi dia cakna berita pemerdagangan manusia melibatkan rakyat Malaysia serta tahu dia dan rakannya adalah sasaran utama sindiket memandangkan Mandarin adalah bahasa ibunda mereka.
Pakar berpendapat kejadian yang menimpa David itu menunjukkan kaedah yang digunakan oleh penyeludup dan kumpulan yang bekerja dengan sindiket penipuan untuk mengumpan mangsa sentiasa berubah dan berkembang, membuatkan kerajaan, pihak berkuasa serta aktivis sering ketinggalan.
“Penyeludup manusia ini lazimnya lebih kreatif dan mereka sentiasa mencari cara baharu untuk menjerat mangsa dan memaksa mereka melakukan jenayah,” kata Andrian Anthony Pereira, Pengasas dan Pengarah Eksekutif kumpulan hak asasi migran North-South Initiative.
Apabila itu berlaku, usaha menyelamatkan mangsa akan menjadi amat sukar dan seringkali dijalankan secara sipi-sipi antara batas undang-undang.
Diculik
David mula berasa ada yang tidak kena apabila Steven tidak muncul bagi menjemput dia dan rakan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai seperti yang dijanjikan. Sebaliknya, ketibaan mereka ditunggu oleh seorang pemandu teksi yang memegang plakad tertera nama mereka berdua. Lelaki itu datang bersama seorang rakan, yang disifatkan oleh David sebagai agak ganjil, namun dia abaikan. Sangkanya kedua-dua lelaki tersebut adalah warga Myanmar.
Sebaik sahaja mereka berada di dalam kereta, rakan si pemandu mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkan dia serta Laura menyerahkan pasport dan telefon bimbit masing-masing.
“(Mereka ugut kami), arah kami duduk diam. Kami tidak berani untuk bertindak, kerana takut dibawa dan dijual entah di mana,” katanya.
Selepas empat hari perjalanan, mereka tiba di Laukkaing, sebuah pekan di utara Myanmar dan bersempadan dengan China. David masih ingat perjalanan mereka melalui jalan kecil di kawasan pergunungan. Sepanjang perjalanan itu, mereka menempuh beberapa pusat pemeriksaan, namun setiap kali itu juga kenderaan mereka dibenar meneruskan perjalanan tanpa banyak kerenah.
Akhirnya mereka tiba di sebuah bangunan setinggi lapan tingkat, bahagian bawahnya menempatkan sebuah kasino dan dikawal oleh beberapa orang lelaki bersenjata api. Kehadiran kumpulan itu meranapkan saki-baki harapan David untuk cuba meloloskan diri dan mendapatkan bantuan, biarpun tahu ada kekangan bahasa.
Di dalam kasino itu, ada ramai lagi yang senasib dengannya, diumpan dengan janji palsu dan dipaksa bekerja.
“Mereka sangat baik. Kami bertuah,” kata David. Melihatkan rakannya Laura begitu ketakutan, pekerja di dalam bangunan itu membenarkan mereka berdua duduk bersama.
Kata David, sindiket itu memberikan mereka masa selama tiga hari untuk belajar menggunakan “Little Red Book” atau “Xiaohongshu”, platform media sosial seakan TikTok dan popular dalam kalangan rakyat China. Mereka perlu tandatangan kontrak dan menipu pengguna platform itu agar membeli mata wang kripto. Kedua-dua anak muda itu enggan.
Apabila David menyatakan hasrat untuk meninggalkan tempat itu, sindiket meminta dia dan Laura membayar wang tebusan.
Terperangkap jauh di pedalaman Myanmar, peluang untuk melepaskan diri amat tipis. Dalam tempoh itu kumpulan yang menahan mereka belum bertindak kasar, namun sampai bila? Mereka tidak ada pilihan dan hanya menunggu masa sebelum tunduk kepada kehendak orang yang menahan mereka.
Namun keajaiban berlaku tanpa disangka.
Cerita David, tiga hari kemudian askar tempatan memeriksa bangunan itu dan pekerja. Selepas mendapati dia dan Laura tidak menandatangani kontrak, kumpulan askar tersebut meminta dia dan Laura mengemas barang masing-masing dan seterusnya membawa mereka ke Pangkham yang terletak kira-kira sembilan jam pemanduan dari sempadan Myanmar-Thailand.
Sebaik tiba di situ, mereka meminjam telefon daripada seseorang dan menghubungi keluarga masing-masing. Sekarang mereka cuma perlu cari jalan untuk keluar dari Myanmar.
Mimpi ngeri mereka masih belum berakhir.
Jalan keluar
Tidak seperti yang dialami oleh David, kaedah paling biasa yang menjerat rakyat Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan manusia ialah tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji melangit berbanding kelayakan seseorang. Akan tetapi, usaha menyelamat pula biasanya menggunakan cara yang sama.
Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong telah membantu menyelamatkan 58 orang daripada 178 kes yang dilaporkan kepada MCA dalam tempoh Mac 2022 hingga 6 Okt 2023. Kebanyakan mereka yang diselamatkan itu “tersangkut” di Kemboja. Negara-negara lain termasuk Myanmar, Laos, Thailand dan Dubai.
“Kami tidak tahu apa yang berlaku kepada yang lain-lain,” kata Chong.
Beliau membantu mangsa dengan memaklumkan keluarga jika masih tidak tahu, mendesak polis dan kedutaan agar menghubungi rakan sejawatan di negara yang berkenaan serta agensi penguat kuasa yang lain seperti Interpol dan Aseanapol.
“Rakan sejawatan di sana tahu apa yang perlu dilakukan. Terpaksa bergantung pada ehsan mereka yang akan melaksanakan usaha menyelamat mengikut cara mereka,” katanya.
Beliau berkata mereka juga memaklumkan usahawan Malaysia yang beroperasi di Kemboja serta negara lain agar memantau atau membantu mana-mana mangsa yang datang meminta bantuan mereka. Beliau turut menghantar alamat perniagaan terbabit kepada mangsa.
Semuanya dilakukan menurut undang-undang. Jika negara di mana mangsa itu berada mempunyai kerajaan yang berfungsi, peluang untuk usaha menyelamat itu berjaya adalah lebih tinggi.
Chong akui kaedah itu boleh mengambil masa yang lama, kerana katanya, apabila pihak berkuasa menghubungi rakan sejawatan mereka, maka mereka tertakluk kepada perancangan rakan sejawatan itu.
Sesetengah keluarga tidak sanggup menunggu begitu lama, apatah lagi tidak ada jaminan usaha itu akan berjaya. Justeru, mereka bersedia melakukan sesuatu yang tidak selaras dengan undang-undang sekiranya keadaan memerlukan.
Dalam kes David, selepas keluarga masing-masing tahu keberadaan dia dan Laura, keluarga mereka menghubungi Victor Wong, seorang usahawan Malaysia berpangkalan di Thailand yang berpengaruh, bagi membantu mengeluarkan mereka dari Myanmar. Wong telah kerap kali bekerjasama dengan polis dan kedutaan Malaysia di Thailand bagi membawa pulang mangsa pemerdagangan manusia.
“Ibunya mahu David minta pertolongan pihak polis Myanmar, tapi saya tidak yakin usaha itu akan berjaya. Malah mereka mungkin berdepan masalah kerana kedua-duanya diseludup masuk,” kata Wong kepada Bernama.
Apabila beliau cuba mengatur pengangkutan buat David dan Laura, beliau dapati kenderaan itu tidak boleh melepasi sebuah pusat pemeriksaan di Myamar bagi memasuki Thailand yang memerlukan pas khas.
Katanya beliau terpaksa mengupah beberapa orang warga Myanmar untuk mengambil dua anak muda terbabit sebelum dibawa meredah hutan di Tachileik, di mana pasukan tentera Thailand sedang menunggu bagi membawa kedua-duanya merentas sempadan.
Wong akui caranya itu tidak mengikut prosedur namun menegaskan kaedah tersebut adalah satu-satunya cara untuk membawa pulang kedua-dua anak muda berkenaan dengan selamat. Keluarga David dan Laura membayar sebahagian daripada kos mengupah kumpulan yang membawa mereka keluar.
Pereira memahami rasional langkah tersebut, namun beliau tidak bersetuju dengan penggunaan kaedah berkenaan dalam menyelamatkan mangsa. Beliau menasihati keluarga mangsa agar mematuhi prosedur undang-undang kerana kegagalan berbuat demikian mungkin membuatkan masalah itu terus berlaku.
Bagi David pula, dia tidak kisah tentang cara yang digunakan untuk membawanya keluar asalkan dia dapat pulang dengan selamat.
Anak sulung daripada empat beradik tersebut berkata mereka sangat bertuah dapat pulang memandangkan tempat dia dan Laura ditahan itu terletak terlalu jauh dari sempadan Thai-Myanmar, di mana usaha menyelamat atau meloloskan diri selalunya lebih mudah. Oleh sebab mereka hilang hanya selama dua minggu, visa mereka masih sah, membolehkan kedua-duanya pulang ke tanah air tanpa perlu ditahan di penjara imigresen.
Katanya dia memutuskan untuk berkongsi kisahnya itu bagi mengingatkan orang ramai bahawa kawan tidak semestinya boleh dipercayai.
“Mata mau kena besar sikit (Kena hati-hati). Mau tengok kawan cakap apa. Jangan percaya senang,” ujarnya, menambah, dia tidak lagi berkawan dengan mereka yang berada dalam kumpulan rakan WhatsApp itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai