Skip to main
Logo Malaysiakini

Banjir kilat, dinding retak akibat projek ECRL - Penduduk Gombak

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Penduduk Gombak Utara sentiasa berjaga-jaga apabila kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semakin rancak di kawasan itu.

Penduduk kampung tempatan, ketika ditemui Malaysiakini, menyuarakan kebimbangan bahawa mereka kini hidup dalam ketakutan.

Mereka mendakwa pembinaan projek kereta api mega yang merentangi Semenanjung Malaysia telah mengakibatkan banjir kilat serta merosakkan premis dan kediaman.

Penduduk Kampung Sungai Salak di Batu 9 1/2 Umi Kalsom Daisuki (gambar, bawah) mendakwa banjir kilat kerap berlaku sejak pokok dan bukit di belakang kampung itu dibersihkan untuk pembinaan projek ECRL.

Umi, suri rumah berusia 62 tahun berkata setiap kali melihat awan mendung hatinya merasa tidak keruan.

"Saya selalu risau apabila hujan, banjir kilat selalu melanda kampung ini apabila hujan. ia berlaku sejak setahun lalu, apabila mereka mula tarah bukit.

"Mak cik tinggal dengan suami. Tapi bila suami sudah kerja, saya duduk sorang diri di rumah, jaga cucu saya. Kalau banjir, mak cik tak tahu macam mana,” kata Umi kepada Malaysiakini di anjung rumahnya, sambil dia menggendong cucunya yang berusia empat bulan.

Umi yang tinggal hanya 100 meter dari tapak pembinaan ECRL melahirkan kebimbangan banjir di kampung itu akan menjadi lebih teruk pada masa akan datang kerana tiada pokok di bukit untuk menahan air hujan dan memperlahankan aliran semasa banjir.

Ini bukan kali pertama ECRL - yang dimulakan semasa era pentadbiran perdana menteri Najib Razak - menimbulkan kontroversi.

Projek sepanjang 665km membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mendapat perhatian umum.

Ini selepas penduduk di Klang dan bahagian lain di Gombak Utara dilaporkan diminta berpindah kerana rumah mereka terletak di tapak pembinaan ECRL.

Sementara itu, akauntan Fauziah Samodi berkongsi kerisauan Umi ialah.

Fauziah, 31 tahun (gambar, atas) yang menetap di kampung itu sejak lahir berkata, air banjir boleh mencecah ke paras pinggang.

"Hari tu banjir kuat, tolak pintu dapur sampai pecah.

"Keluarga saya risau kampung kita akan kena kesan dan kami pulak kena pindah untuk bagi laluan kat projek ni,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Hosin Nabhan (gambar, bawah) berusia 62 tahun mengecam landasan ECRL yang dibina begitu dekat dengan kawasan perumahan.

"Ada lah marah, tak puas hati. Pembangunan landasan terlalu dekat dengan kawasan perumahan dan sebabkan banjir semakin menjadi-jadi dan teruk di sini.

"Sekarang hujan sikit saja, tak sampai setengah jam dah banjir," katanya memberitahu Malaysiakini.

Keselamatan pelajar tadika

Di Kampung Sungai Chinchin di Batu 7, penduduk kampung mendapati diri mereka dalam keadaan yang berbeza.

Penduduk kampung menyuarakan kebimbangan terhadap kerja-kerja cerucuk dari tapak pembinaan yang didirikan kurang 100 meter dari kawasan perumahan itu didakwa menyebabkan dinding retak dan jubin pecah di beberapa rumah berhampiran, termasuk tadika kejiranan.

Bercakap kepada Malaysiakini, guru Tabika Kemas Batu 7 Gombak Jamaah Md Nor bimbang tentang keselamatan dan kesejahteraan pelajarnya.

"Mereka ni (kanak-kanak tabika) tanggungjawab saya! Memang bahaya untuk anak-anak.

"Bangunan ini dah banyak retak. Kami baru cat baru dan lantai tu dah retak, dapur dah retak.

"Tak ada masa tetap untuk kerja-kerja cerucuk tu jalan, dan tiap kali sangat bising.

"Kesian kat anak-anak. Mereka masih di prasekolah tak boleh ada gangguan persekitara," kata guru berusia 55 tahun itu.

Kalau boleh tak mahu pindah

Walaupun dia dimaklumkan bahawa tadika itu tidak akan terjejas oleh projek ECRL, Jamaah mendakwa petugas penilai, yang pergi ke tadika itu, memberitahu sebaliknya.

"Tak dapat notis sebelum ni. Kemas pun terkejut dengar ni.

"Mereka kena bagi maklumkan kepada jabatan, apa tindakan jabatan seterusnya, bagi penempatan baru atau terus bagi kekal di sini," katanya.

Seorang lagi penduduk Rokiah Osman, 62, (gambar bawah) berasa ragu-ragu untuk berpindah kerana menjaga anaknya yang kurang upaya.

"Memang gusar. Mak cik kalau boleh tak mahu pindah. Anak saya sakit dan tak boleh jalan. Kalau nak pindah nanti, tak tahu macam mana nak handle dia.

"Anak saya suka dan (sudah) sesuai kat sini,” kata suri rumah itu.

Sementara itu, anak sulung Rokiah Mohd Faizal Samsudin merungut kerana Jalan Gombak yang menjadi laluan masuk utama ke kampung itu turut terjejas dan menyusahkan pergerakan penduduk.

"Memang satu jalan je yang keluar masuk ke Gombak. Ada jalan lain, tapi kena masuk lebuh raya, jauh.

"Ini jalan utama untuk penduduk keluar masuk. Kalau jalan ini, dia orang kacau dengan ECRL, (kami) terjejas.

"Ini baru peringkat awal, apa akan jadi kalau kerja pembinaan tambah rancak,” soal peniaga berusia 35 tahun itu.

Aktivis tempatan Muhammad Yusof Sulaiman (gambar, bawah) turut mendakwa landasan kereta api itu akan dibina berhampiran Hospital Orang Asli Gombak dan bakalmenimbulkan gangguan kepada pesakit di situ serta membawa kepada implikasi sosial.

"Hormati projek ni sebab rakyat perlukan pembangunan. Tapi ada ker pihak yang sah yang turun untuk buat penilaian untuk pastikan kesan sosial akibat projek ini pada sebelum dan selepas (pembinaan).

"Saya menyaksikan alam semulajadi musnah, apa yang akan tersisa di bumi?

“Nak kekayaan dunia bukan dengan cara begini,” katanya yang berusia 33 tahun.

Yusof mendakwa sebanyak 14 kampung di Gombak Utara akan terjejas

Dia juga menggesa pemaju projek untuk mempertimbangkan laluan lain untuk membina landasan dan tidak melibatkan kampung tersebut.

Dia turut kesal penduduk kampung tiada makluman kerana tiada sesi taklimat diadakan bagi menerangkan hala tuju projek secara terperinci.

Jawapan pasukan projek ECRL

Sebagai maklum balas terhadap rungutan penduduk kampung, pasukan projek ECRL, yang terdiri daripada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), berkata Kampung Sungai Salak telah terdedah kepada banjir walaupun sebelum kerja-kerja ECRL bermula lagi.

Memetik artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini bertajuk “Penduduk desak k’jaan S’gor selepas isu banjir lumpur” bertarikh 15 Jun 2014, pasukan projek ECRL berkata jelas banjir telah menjadi isu di kampung itu sejak hampir sedekad lalu.

“Kerja-kerja pembersihan tapak secara berperingkat di Kampung Sungai Salak baru dimulakan pada 7 Jun tahun ini. Pasukan Projek ECRL memerhatikan bahawa longkang di kawasan itu sering didapati tersumbat dan dipenuhi tanah walaupun sebelum kerja-kerja dimulakan lagi.

“Tambahan pula, langkah kawalan hakisan dan kelodak telah dilaksanakan bagi memastikan larian air permukaan yang keluar melalui titik pelepasan akhir ke kawasan sekitar mematuhi peraturan alam sekitar semasa fasa pembinaan projek.

“Satu siri lawatan tapak dan rundingan telah diadakan untuk mencapai persetujuan dengan penduduk tempatan sebelum saluran longkang baru boleh disediakan untuk membawa larian air permukaan ke sungai tanpa melalui kawasan kediaman yang terjejas,” katanya kepada Malaysiakini melalui satu kenyataan bertulis.

Jelasnya, pihak berkenaan sedang dalam proses mencari penyelesaian terbaik bagi mengelak limpahan air dari tapak kerja ECRL memasuki Kampung Sungai Salak.

“Kawasan berhampiran Kampung Sungai Salak telah ditetapkan untuk pembangunan halaman Electric Multiple Unit (EMU) ECRL.

"Keluasan kira-kira 100 ekar diperlukan untuk halaman EMU yang juga akan digunakan untuk penyelenggaraan kereta api serta tempat letak kereta selepas selesai operasi harian kereta api."

Menangani kebimbangan mengenai kerja-kerja cerucuk di Kampung Sungai Chinchin yang menyebabkan dinding retak serta jubin lantai, pasukan projek ECRL berkata ia tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai kejadian sedemikian.

Bagaimanapun, pihaknya memberi jaminan akan membuat tindakan susulan dengan penduduk yang terjejas berhubung perkara itu.

“Kerja-kerja cerucuk berhampiran Kampung Sungai Chinchin bermula pada 21 September lalu.

“Memandangkan keadaan sekeliling, kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) CCC-ECRL memilih untuk menggunakan kaedah cerucuk bored berputar dan bukannya kaedah cerucuk terdorong yang biasa digunakan.

"Kaedah ini ialah cerucuk konkrit tuang di tempat di mana cerucuk bor perlu digerudi dan dituang di tapak dan bukannya kaedah cerucuk terdorong di mana cerucuk pratuang akan digerakkan dengan memalu (cerucuk).

“Kelebihan cerucuk bored terletak pada kaedah penggerudiannya, yang menghasilkan tahap getaran dan bunyi yang minimum, memastikan struktur bersebelahan dan persekitaran sekitar paling kurang terjejas semasa proses memasang cerucuk.

Sesi libat urus ECRL

“Selain itu, tahap kebisingan yang lebih rendah menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih baik, meminimumkan gangguan kepada penduduk berhampiran,” katanya.

Sambil mengakui jajaran ECRL akan ditempatkan kira-kira 110 meter dari Hospital Orang Asli Gombak, ia berkata langkah perlu, termasuk kebimbangan mengenai kesan bunyi, akan diambil kira semasa fasa pembinaan dan fasa operasi.

Ini, katanya, bagi memastikan hospital tidak terjejas.

Ia juga menolak dakwaan MRL dan CCC-ECRL tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan penduduk kampung untuk menjelaskan projek itu kepada mereka.

Ia menegaskan beberapa sesi libat urus projek ECRL telah dijalankan sejak awal tahun ini bersama penduduk dan pemilik tanah di Gombak Utara.

“Terbaru melibatkan ‘Majlis Ramah Mesra Dan Dialog’ oleh pasukan Projek ECRL di Dewan Orang Ramai Batu 9 pada 30 September lalu, yang antara lainnya turut dihadiri wakil daripada Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Penghulu.

“Pasukan Projek ECRL juga telah mengambil langkah proaktif untuk melibatkan dan memberi taklimat kepada ketua kampung yang berkaitan bagi memastikan mereka mengetahui penjajaran dan kerja-kerja ECRL yang sedang dijalankan.

“Tambahan pula, terdapat papan tanda maklumat dan talian hotline di tapak pembinaan bagi membolehkan penduduk atau pemilik tanah menghubungi dan mendapatkan maklumat,” katanya lagi.

[Baca berita asal]