Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan akan panggil penyiasat kes pengubahan wang haram 1MDB esok

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KES 1MDB | Pihak pendakwaan dijangka memanggil pegawai penyiasat 1MDB Foo Wei Min untuk memberi keterangan esok bagi perbicaraan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak yang dikaitkan dengan RM2.28 bilion dana daripada syarikat pelaburan negara itu.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini mengenai hasrat pendakwaan untuk memanggil saksi utama yang terlibat dalam siasatan berhubung pertuduhan pengubahan wang haram yang berlaku di 1MDB.

Difahamkan saksi yang dimaksudkan ialah Foo, yang dapatan siasatannya sejak 2018 telah digunakan untuk kedua-dua perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung terhadap Najib serta tindakan undang-undang berasingan yang gagal untuk merampas aset berkaitan 1MDB daripada bekas menteri kewangan itu.

Saksi itu dijangka hadir memberi keterangan pagi esok dalam perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB, syarikat pelaburan negara yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

[Baca berita asal]