Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tinjauan pendapat minta Anwar gugur Zahid dari kabinet'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sejak beberapa minggu ini, desas-desus bertiup kencang mengenai rombakan kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Anwar berkata dia belum mempunyai keputusan berhubung rombakan kabinet kerajaan perpaduan seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Apapun, kematian Allahyarham Salahuddin Ayub pada Julai, membuat kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup kini perlu diisi.

Malaysiakini telah membuat satu tinjauan rambang di sekitar Lembah Klang untuk mengetahui pendapat mengenai menteri mana yang perlu diganti, dikekalkan atau dibawa masuk ke dalam kabinet.



Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi paling kerap disebut sebagai menteri yang patut digugurkan daripada barisan jemaah menteri.

Sementara itu, ramai menyambut baik prestasi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pertahanan Mohamad Hassan.

"Saya minta maaf tetapi saya bukan peminat tegar dia (Zahid)," kata seorang pelajar institusi pengajian (IPT) yang hanya mahu dikenali sebagai Akshaan (bawah).

Rakan pelajarnya Thuraya (gambar, atas) juga berkata Zahid Hamidi mempunyai beban politik yang perlu dipikul susulan pertuduhan rasuah terhadap presiden Umno itu.

"Dia mempunyai cerita latar belakang yang tidak baik untuk negara kita. Orang luar tahu mengenainya," katanya.

"Saya juga ingin mengkritik perdana menteri kita sendiri. Kenaikan kos sara hidup dan gaji tidak mencukupi, isu pengangguran diabaikan.

"Perkara-perkara ini tidak baik, dan dia berkata dia akan meningkatkan ekonomi kita. Tetapi, saya melihat bahawa ia masih dalam keadaan buruk," kata Thuraya.

Sementara itu, juruteknik IT Farid Manan turut tidak berkenan dengan Zahid.

Dia juga merasakan Menteri Multimedia dan Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli juga tidak melakukan secukupnya untuk menunjukkan mereka layak memegang jawatan kabinet.

Peniaga Sivaguru Krishnar pula mencadangkan agar Zahid dan rakannya dalam Umno, Menteri Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said perlu dibuang daripada kabinet.

"Mungkin mereka sedang melakukan kerja mereka, tetapi saya tidak pernah mendengar apa-apa daripada mereka," katanya.

Dalam pada itu, eksekutif Peter John memberitahu Presiden Amanah Mohamad Sabu kelihatan lebih cemerlang ketika dia berkhidmat sebagai menteri pertahanan ketika pentadbiran PH pada 2018-2020.

"Sekarang tiada berita mengenainya sebagai menteri pertanian. Apa yang dia buat," soal Peter.

Lim Toon Chai yang bekerja sendiri turut menuding jari menyoal keberkesanan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagong.

"Negara kita begitu terpolarisasi sekarang, dan saya tidak nampak sebarang peningkatan, malah ia semakin teruk,” katanya.

Lim juga berkata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tiong King Sing melakukan tugas yang baik dalam mempromosikan pelancongan.

"Beliau tidak takut untuk bersuara, termasuk menentang MB Kedah Sanusi Md Nor berhubung isu pakaian di Pulau Langkawi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ramai orang muda yang ditemui wartawan Malaysiakini juga berkata menteri kabinet dilihat sebagai terlalu jarang berinteraksi di media sosial.

Salah seorang yang ditemu bual memberi contoh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Ismail.

Pun begitu, bukan semua menteri yang diragui prestasinya, kerana ramai juga yang memuji Hannah Yeoh, Anthony Loke dan Mohamad Hasan.

Penjaja Nor Mashita memuji Loke dan Mohamad, berkata hasil kerja mereka dapat dilihat rakyat.

Sementara itu, pelajar Thuraya mengucapkan kata-kata yang baik untuk Yeoh.

"Hannah Yeoh sentiasa dilihat melakukan tugasnya dan turun padang.

"Kita boleh lihat dia mengambil peranan aktif untuk memperbaiki keadaan sukan juga di negara ini," katanya.

Farid Manan memuji Yeoh dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam pada itu, pelajar IPT Hadreen memuji Loke dan Mohamad Sabu, berkata liputan di media sosial jelas menunjukkan dua menteri ini membuat kerja mereka.

Akshaan pula berkata Rafizi sedang melakukan kerja yang baik untuk memulihkan dan membina semula ekonomi negara yang terjejas selepas Covid-19.

Seorang lagi pelajar IPT, Amirul Adni memuji Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang menunjukkan prestasi baik kerana jelas dia bekerja dan turun padang untuk cuba memacu pendidikan negara ke arah yang lebih baik

"Dia juga nampaknya memperuntukkan lebih ramai guru ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Lantikan mengejutkan

Apabila wartawan Malaysiakini bertanya siapa yang mereka mahu diambil Anwar menyertai jemaah menteri, jawapan yang diterima agak mengejutkan.

Nor Mashita tanpa berbelah bahagi memilih bekas menteri Khairy Jamaluddin.

"Kepulangan untuk KJ," katanya sambil memuji pemimpin itu yang pernah menerajui kementerian kesihatan.

"Saya ingin melihat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kembali sebagai menteri belia," kata Peter John.

"Saya rasa dia berkhidmat dengan baik sebelum ini," kata Thuraya.

Dia juga ingin melihat Syed Saddiq menjadi perdana menteri pada suatu hari nanti kerana katanya, ahli parlimen Muar itu mengambil berat tentang kebajikan rakyat dan cukup berani untuk menyuarakan pendapatnya mengenai ekonomi.

Sementara itu, seorang lelaki yang bekerja sendiri, yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad menggesa supaya Najib Razak dibebaskan dari penjara dan kembali menjadi perdana menteri, berkata keadaan negara lebih baik pada era pentadbirannya.

[Baca berita asal]