Skip to main
Logo Malaysiakini

Muhyiddin: K'jaan pusat, negeri perlu kerjasama perkasa pengurusan sumber air

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Kerajaan pusat dan negeri perlu bekerjasama dalam memperkasakan sistem pemantauan bersepadu bagi memastikan keberkesanan pengurusan sumber air di negara ini.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata sebagai usaha memastikan kelestarian sumber air, kerajaan menerusi kerjasama SPAN juga harus mempergiat proses pembesaran dan menaik taraf loji-loji air di seluruh negara.

“Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dapat memastikan pengoperasian loji rawatan air dan pengagihan air yang lancar tanpa gangguan.

“Melalui pemantauan berterusan, punca bekalan air kerap terputus dan sumber air mentah yang tercemar dapat dikenal pasti segera, sekaligus mengurangkan insiden pencemaran,” kata Muhyiddin yang juga pengerusi PN di Parlimen, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (Pindaan) 2023.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata kadar air tidak terhasil (NRW) juga perlu diberi penekanan khusus.

“Ini kerana secara puratanya sebanyak 37.2 peratus NRW atau hampir tujuh juta liter sehari dibazirkan dengan anggaran kerugian mencecah RM2 bilion setahun.

“Saya menggesa kerajaan segera mencari penyelesaian menang-menang untuk mengatasi masalah ini. Saya berharap melalui penambahbaikan fungsi SPAN di bawah pindaan ini akan diterjemahkan dalam peningkatan kualiti pengurusan bekalan air serta kelestarian sumber air di dalam negara,” tambahnya.