Skip to main
Logo Malaysiakini

LANGSUNG | RM1.9 bilion untuk syiar Islam

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

LANGSUNG | Perdana Menteri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan Malaysia Madani di Dewan Rakyat, petang ini.

Ia belanjawan kedua kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar yang juga menteri kewangan.

Malaysiakini membawakan laporan langsung dari parlimen.


Terima kasih kerana ikuti laporan langsung Mkini

Hantaran ini mengakhiri liputan langsung Malaysiakini mengenai pembentangan Belanjawan 2024.

Sila pertimbangkan untuk melanggan Malaysiakini dengan mengklik di sini dan menyokong media bebas dalam membantu orang ramai membuat pilihan dengan bermaklumat serta semak imbang kepada pihak berkuasa untuk bertanggungjawab.


Sorotan utama Belanjawan 2024:

  • RM2,000 untuk kakitangan kerajaan dan pesara

  • RM1.9 bilion untuk syiar Islam

  • Bantuan Sekolah Agama Rakyat RM20,000 setahun

  • Sumbangan khas RM700 guru takmir, Kafa, imam, bilal, siak, noja

  • Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN

  • Lebih RM900 juta untuk membaik pulih sekolah usang

  • Pelepasan cukai penjagaan anak meningkat kepada RM3,000

  • Sumbangan Tunai Rahmah naik, kadar maksimum RM3,700

  • Meningkatkan usaha banteras pemburuan haram

  • Cukai hiburan dikurangkan di Wilayah Persekutuan

  • RM44 bilion untuk perkukuh PKS

  • Sistem pengecualian cukai berperingkat untuk pelabur

  • RM20 juta kepada Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan untuk memerangi penipu

  • Lebih banyak dana untuk menampal jalan berlubang, memasang lampu LED untuk meningkatkan keselamatan jalan raya

  • RM150 juta untuk membaik pulih tandas sekolah

  • Rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan untuk rakyat miskin diteruskan

  • Pengecualian pembayaran deposit untuk akaun bil elektrik

  • Cukai mewah antara lima peratus hingga 10 peratus akan dilaksanakan

  • Cukai minimum global untuk syarikat dengan hasil tahunan €750 juta (RM3.7 bilion).


Insentif RM2,000 kepada penjawat awam

6.34 petang: Kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak 2,000 ringgit kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara Kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.


RM72 juta perkukuh ekosistem atlet acara podium

6.30 petang: Kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium.

Ini termasuklah RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Bagi memperkasa ekosistem atlet para, RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

Sejumlah RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara.

Kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan RM50 juta bagi menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan sektor swasta.

Kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.


Diberhenti sejak 2003, k'jaan kembalikan bantuan sekolah agama rakyat

6.29 petang: Sejak 2003, kerajaan pentadbiran perdana menteri Mahathir Mohamad telah memberhentikan bantuan perkapita kepada Sekolah Agama Rakyat atas alasan pendekatan pengajaran Islam yang tidak berada di landasan yang betul.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk mengembalikan semula geran bantuan sebanyak RM20,000 kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah Jakim.

Pemberian ini diharap dapat menyokong fungsi Sekolah Agama Rakyat dalam melahirkan generasi baharu Islam yang seimbang ilmu duniawi dan ukhrawi mereka.


Sumbangan khas RM700 guru takmir, Kafa, imam, bilal, siak, noja

6.28 petang: Menghargai jasa dan peranan besar lebih 70 ribu guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja dan marbut di peringkat komuniti, Kerajaan bersetuju untuk memberikan sumbangan khas ditambah menjadi RM700 ringgit yang akan disalurkan terus kepada mereka dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta.


RM1.9 bilion untuk syiar Islam

6.27 petang: Kerajaan mengkhususkan RM1.9 bilion ringgit bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.

Pendidikan ilmu Islam akan terus berkembang untuk dihayati dan dimaknai oleh seluruh umat Islam di Malaysia. Tahun hadapan:

• Dua buah institusi pendidikan islam akan dibina dengan kos RM220 juta iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan.

• Sejumlah RM150 juta disediakan kepada Jakim untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz.

• Insya-Allah, penganjuran majlis ilmu oleh tokoh dan ilmuan Islam di seluruh negara khususnya di Kompleks Seri Perdana akan diteruskan dan diperbanyak bagi meningkatkan kefahaman dan penghayatan ilmu agama kepada umat Islam.


Subsidi pengangkutan awam, pas bulanan My50 diteruskan

6.20 petang: Subsidi pengangkutan awam seperti bas,rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

• RM96 juta Dana Sokongan Bas Henti-henti disediakan bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas henti- henti yang perlu meneruskan perkhidmatan di laluan kurang penumpang di kawasan desa.

• RM150 juta ringgit juga diperuntukkan bagi meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti termasuk meluaskan manfaatnya ke tiga lokasi baharu iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar.

• Kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak.

• Kepada lebih 180 ribu penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel Prasarana untuk ulang-alik mencari rezeki, manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan.

Kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini iaitu stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

"Pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk dengan kos sebanyak RM4.7 bilion," kata Anwar.


Sokong murid berkepeluan khas

6.15 petang: Kerajaan akan terus memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas.

• 18 blok baru pendidikan khas akan dibina dengan kos RM180 juta. Ini antaranya melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

• RM30 juta juga disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra OKU bagi memudahkan urusan murid dan guru di sekolah.


Belanjawan tertinggi untuk kesihatan RM41.2 bilion

6.10 petang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperuntukkan RM41.2 bilion tahun hadapan berbanding 36.3 bilion ringgit tahun ini,iaitu peningkatan terbesar daripada kalangan kementerian.

Sejumlah RM300 juta disediakan untuk membaik pulih 400 buah klinik uzur yang masih punyai struktur kayu dan pendawaian usang.

Sejumlah RM766 juta turut disediakan untuk perolehan peralatan perubatan di hospital KKM bagi menggantikan peralatan yang mencecah Beyond Economic Repair (BER) di samping memenuhi keperluan pelbagai disiplin perkhidmatan baharu.

Skim Perubatan Madani akan diperluas ke seluruh negara dengan peruntukan RM100 juta yang akan memanfaatkan 700 ribu rakyat, dan meneruskan skim mySalam bagi tempoh dua tahun lagi.

Tahun hadapan, KKM akan laksanakan beberapa projek pembangunan baru, antaranya:

  • Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta;

  • Kerja awalan bagi Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Johor;

  • Blok Patologi Tambahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dengan kos RM175 juta;

  • Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor; serta

  • Lima buah klinik kesihatan baru antaranya di Rantau, Negeri Sembilan; Kuala Tahan, Jerantut, Pahang; Kuala Jengal, Dungun, Terengganu dan Pulau Mantanani, Kota Belud, Sabah dengan kos RM150 juta.

  • Kerajaan turut menyokong hasrat Sarawak untuk membangunkan sebuah Institut Kanser di Sarawak.


Pengecualian cukai elaun penjagaan anak RM3,000

6.00 petang: Bagi terus menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027.

Kerajaan mencadangkan bahawa had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada RM2,400 kepada RM3,000.

"Pusat tahanan imigresen bukannya tempat untuk kanak-kanak. Tidak perlupun kita rujuk kepada konvensyen antarabangsa supaya kita sedar perihal tersebut dan cukup dengan secebis ihsan di sudut hati. Kerajaan telah memperintis program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia bagi menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak ini," kata Anwar.

Bagi tahun 2024, Kerajaan akan memperluas program ini di tiga lagi pusat penempatan sementara masing-masing 1 di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dengan peruntukan RM10 juta.


Subsidi tiket penerbangan untuk siswa balik kampung

5.48 petang: Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan ikhtiar FLYsiswa iaitu bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman.

Tahun hadapan, ikhtiar FLYsiswa akan diteruskan untuk manfaat hampir 60,000 pelajar daripada keluarga kurang mampu.


Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah naik ke RM3,700

5.47 petang: Hikmah penyasaran semula subsidi, kata Anwar membolehkan kerajaan menambah baik dan meningkatkan pemberian tunai kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada tahun depan.

"Insya-Allah, bayaran pertama sehingga RM500 akan dibuat pada bulan Februari 2024," kata perdana menteri.

• Pemberian STR akan memanfaat 9 juta penerima atau 60 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.

• Peruntukan STR meningkat sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion ringgit.

• Kadar maksimum STR juga meningkat daripada RM3,100 ringgit kepada RM3,700 ringgit.

• Kadar minimum STR iaitu untuk golongan belia juga meningkat daripada RM350 kepada RM500.

• Bayaran pertama STR untuk isi rumah biasanya maksimum RM300. Untuk STR 2024, bayaran pertama STR dinaikkan kepada RM500 yang insya-Allah akan disalurkan sebelum Ramadan.

• Kerajaan memutuskan untuk meluaskan manfaat (Smbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 700 ribu penerima STR yang akan menerima RM100 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

• STR 2024 juga akan mengambil pendekatan berbeza iaitu Kerajaan akan membuka permohonan baru seawal November 2023 dan permohonan akan dibuka sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.


RM200 juta untuk Payung Rahmah

5.42 petang: Kerajaan menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan Payung Rahmah.

Umpamanya, pelaksanaan Program Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah akan diperluas ke lebih banyak kawasan DUN di seluruh negara.

Program Pasar Rahmah yang menawarkan insentif kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani juga diteruskan bagi mengurangkan kos perniagaan sekali gus dapat menurunkan harga jualan.


RM2.6 bilion bagi subsidi, insentif pesawah dan nelayan

5.40 petang: Kerajaan menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada para pesawah dan nelayan.

Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah.

Nelayan juga diberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 ringgit.


RM11.8 bilion bagi 33 projek tebatan banjir

5.36 petang: Tahun hadapan, sejumlah 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion.

Antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching Fasa 2, Sarawak; Baling Fasa 2, Kedah; dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.

Sementara itu, bagi mengurang risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 PBT untuk melaksanakan kerjakerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.

Kerajaan turut menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi.


Potongan cukai taja projek pelihara, pulihara alam

5.36 petang: Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk potongan cukai bagi aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan.

Bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak sektor swasta dalam memberi sumbangan melalui projek amal atau komuniti, Kerajaan akan memberi potongan cukai kepada entiti yang menaja aktiviti penanaman pokok atau projek kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang disahkan oleh Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).


Konflik hidupan liar: RM10juta untuk kerugian rakyat

5.35 petang: Bagi tempoh 2018 hingga 2022, lebih 46 ribu aduan dilaporkan melibatkan konflik hidupan liar seperti gajah, harimau dan tapir yang merosakkan harta benda dan tanaman pertanian dengan nilai kerugian dianggarkan 43 juta ringgit.

Sejumlah RM10 juta disediakan bagi membantu meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh rakyat yang terlibat dengan konflik hidupan liar.

Kerajaan Persekutuan akan mempelopori penerbitan sukuk biodiversiti sehingga RM1 bilion yang melibatkan penanaman semula hutan terosot yang akan menjanakan kredit karbon.

Inisiatif penanaman semula ini akan diusahasamakan dengan kerajaan negeri yang berminat dan bakal memanfaatkan sebahagian daripada kredit karbon yang dijanakan.


Perlindungan alam: Peruntukan untuk k'jaan negeri RM200 juta

5.34 petang: Kerajaan akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar yang terancam.

"Tahun hadapan, peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) akan ditingkatkan kepada RM200 juta ketimbang RM150 juta tahun ini," kata Anwar.

Peranan renjer komuniti telah berjaya membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar.

Kerajaan akan menambah bilangan renjer komuniti kepada 2,000 orang ketimbang 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan kawasan hutan simpan kekal. RM60 juta ringgit diperuntukkan dengan tumpuan untuk melantik renjer daripada kalangan veteran ATM, PDRM, Orang Asli dan komuniti setempat.


Bayaran IPG pekebun getah naik ke RM3 sekilogram

5.28 petang: Dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram.

"Sekali lagi setelah mendengar keluhan para pekebun getah.

"Kerajaan bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta ringgit," katanya.


RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda

5.25 petang: Kerajaan menyediakan RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

Kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta.

Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.

Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.

Kerajaan memperuntukkan RM90 juta kepada Risda dan Felcra untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.


Longgar keperluan visa tarik pelaburan

5.24 petang: Putrajaya akan memulakan Pelan Liberalisasi Visa Malaysia untuk menggalakkan pelaburan dari negara sasaran strategik.

Pelan itu akan merangkumi pas lawatan sosial jangka panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah menamatkan pengajian mereka untuk memenuhi keperluan industri mahir.

Visa semasa ketibaan, lawatan sosial dan visa kemasukan berbilang akan ditambah baik untuk menggalakkan pelawat dan pelabur dari India dan China.

Putrajaya juga merancang untuk melonggarkan syarat untuk program Malaysia Rumah Keduaku. Tiada butiran mengenai perkara ini.


Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak dinaikkan

5.23 petang: Peruntukan Persekutuan untuk pembangunan Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion ketimbang

RM5.6 bilion. Manakala, untuk pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion ketimbang RM6.5 bilion.

Kerajaan Perpaduan juga meningkatkan kadar Pemberian Khas interim untuk Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta ketimbang 16 juta ringgit bagi Sarawak dan RM125.6 juta bagi Sabah sebelum ini.

Kali terakhir kajian semula Pemberian Khas kepada Sarawak dan Sabah dibuat masing-masing pada 1969 dan 2022.

Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah juga mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.

Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri.


Pengecualian cukai galak tingkat bidang baru

5.22 petang: Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, kerajaan memberi pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.

Kerajaan juga akan memperluas skop bagi pelepasan gaya hidup meliputi yuran untuk menyertai kursus kemajuan kendiri seperti kursus bahasa, fotografi, menjahit dan sebagainya.


RM160 juta bagi manfaat penggiat seni

5.20 petang: Kerajaan menyediakan RM160 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni.

Ini termasuk RM60 juta di bawah Dana Kandungan Digital, RM90 juta di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) dan RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative.

Kerajaan juga bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan juga akan diperkenalkan.

Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu seperti berikut:

• Pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan;

• Pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; dan

• Pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

• Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat- bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

Sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokohtokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan, Kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.


RM350 juta bagi rancakkan pelancongan

5.17 petang: Kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

Ini termasuklah menetapkan Tahun Melawat Malaysia pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.


RM6.8 bilion untuk TVET

5.10 petang: Tahun hadapan, peruntukan keseluruhan melibatkan pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjumlah RM6.8 bilion.

Tahun hadapan, RM100 juta diperuntukkan bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.

Program Academy in Industry akan dilaksanakan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta.

Sebanyak RM20 juta dikhaskan untuk manfaat pelatih yang mengikuti bidang maritim, kesenian di Aswara dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

Sebanyak RM17 juta disediakan untuk melaksanakan Program Tahfiz TVET.

Pelepasan cukai sehingga RM2,000 bagi yuran kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2026.


RM44 bilion untuk PMKS dalam bentuk pinjaman, jaminan pembiayaan

5.05 petang: Tahun hadapan nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjumlah sehingga RM44 bilion.

Usahawan mikro dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti BNM, BSN dan TEKUN.

Di bawah BNM juga, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan untuk menyokong syarikat PKS.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil,penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan.

Bagi tahun 2024, RM600 juta disediakan di bawah Dana Impak Khazanah Nasional untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Tahun hadapan, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion.

Bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Kerajaan Perpaduan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.

Tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi.


GLC, GLIC sedia dana RM1.5 bilion untuk syarikat pemula

5.05 petang: Kerajaan memberi peruntukan untuk mengantarabangsakan syarikat pemula tempatan dan meningkatkan daya saing mereka bagi menembusi pasaran serantau

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLIC) menyediakan dana sehingga RM1.5 bilion untuk menggalakkan syarikat pemula termasuk usahawan PKS bumiputera menceburi bidang HGHV seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta elektronik dan elektrikal (E&E).

Bagi menyokong pendanaan modal kepada syarikat pemula:

Pertama: peruntukan sebanyak RM100 juta kepada MyCIF bagi tempoh 3 tahun bagi melengkapi kerjasama dengan inisiatif keterjaminan makanan, alam sekitar, masyarakat dan juga Majlis Agama Islam Negeri untuk membuka peluang pembangunan aset wakaf untuk tujuan kesihatan, pendidikan, dan perusahaan asas tani.

Kedua: galakan cukai kepada pelabur individu yang melabur dalam syarikat pemula melalui platform pendanaan awam ekuiti (ECF) akan turut diperluas kepada pelabur individu melalui syarikat nomini Perkongsian Liabiliti Terhad serta dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026.

Ketiga: galakan cukai pelabur mangkin (angel investor) dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026 bagi menggalakkan pendanaan modal dalam syarikat pemula teknologi.


RM500 juta ringgit pinjaman mudah untuk bangunkan tanah wakaf

5.02 petang: Tahun hadapan, kerajaan akan meningkatkan dana untuk membangunkan semula tanah-tanah wakaf di seluruh negara secara pinjaman mudah kepada RM500 juta.


Dana tambahan RM25 juta untuk i-Tekad

5.00 petang: Program kewangan sosial i-TEKAD yang diluncurkan sebelum ini telah memanfaatkan hampir 4,000 usahawan mikro dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh 12 insititusi kewangan.

Oleh yang demikian, kerajaan memperuntukkan dana tambahan sehingga RM25 juta secara geran padanan dengan institusi kewangan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan.


Banteras jenayah 'scam'

4.45pm: Anwar berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah mengendali lebih 49,000 panggilan dan berjaya membeku sehingga RM60 juta ringgit. Tahun hadapan, Kerajaan akan menambah peruntukan NSRC kepada RM20 juta ketimbang RM10 juta bagi meningkatkan lagi kefungsian NSRC membanteras jenayah scam.

Bank Negara Malaysia dengan kerjasama sektor kewangan sedang membangunkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) yang dijangka siap menjelang pertengahan tahun 2024. Dengan kebolehan automasi penjejakan dana, diharap Portal ini akan mempercepat tempoh pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana.


Baiki tandas sekolah, jalan berlubang

4.40 petang: Anwar berkata kempen pentadbirannya untuk membersihkan tandas sekolah akan diteruskan, dengan RM150 juta diperuntukkan kepada 150 PBT untuk usaha ini.

Dia berkata 8,354 tandas akan diperbaiki tahun ini sejak kempen naik taraf bermula. Anwar berkata adalah tidak terfikir bahawa kanak-kanak dibiarkan menderita akibat tandas sekolah yang tidak diselenggara dengan baik.

""idak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur," katanya.

Anwar berkata berbilion-bilion ringgit juga akan dibelanjakan untuk menampal jalan berlubang dan memasang lampu LED untuk menjadikan jalan raya lebih selamat, dengan menyatakan bahawa kira-kira 6,000 orang maut akibat kemalangan jalan raya tahun lepas.


RM2.4 bilion bina, selenggara, baik pulih kuarters penjawat awam

4.35 petang: Sebanyak RM2.4 bilion diperuntukkan untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.

Dalam menggerakkan agenda reformasi, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara telah berjaya mempercepat pelaksanaan projek khususnya melibatkan isu kesesakan di hospital dan pembaikan sekolah dan klinik daif.

Pasukan STAR pada tahun 2024 diberi tanggungjawab untuk mempercepat pelaksanaan projek selenggara lif dengan peruntukan RM91 juta dan kuarters Kerajaan sebanyak RM170 juta.


Bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri di kecualikan.

4.25 petang: Kerajaan bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri, kata PM Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan terus menambah baik pendekatan subsidi elektrik bersasar mengikut tahap penggunaan elektrik.

"Kerajaan berharap, keputusan ini memberi isyarat tepat kepada pengguna untuk mempraktikkan kecekapan tenaga dan amalan berjimat cermat dalam penggunaan elektrik seharian.

"Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta..

Selain itu, Kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.


Cukai perkhidmatan dicadang naik: Kecuali makanan, minuman, telekomunikasi

4.20 petang: Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus berbanding 6 peratus sekarang.

Namun, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

  • Cukai keuntungan modal akan dikenakan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat. Kerajaan sedang mempertimbangkan pengecualian jika saham itu dibeli semasa IPO, penstrukturan semula dalaman atau syarat lain.

  • Kerajaan akan mengenakan cukai mewah pada kadar antara 5 peratus hingga 10 peratus.

  • Kerajaan akan memperkenalkan cukai minimum global untuk syarikat dengan pendapatan tahunan sebanyak Euro 750 juta.


Belanjawan angkat darjat ekonomi rakyat - PM

4.15 petang - Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata Belanjawan 2024 memperuntukkan RM398.8 bilion yang tertinggi setakat ini bertujuan mengangkat darjat harakat ekonomi negara dan rakyat.

"Kini kita menempuh suatu fasa yang luar biasa aneh, dan fasa ini tentunya belum terjangka dalam sejarah peradaban manusia.

"Sementelahan warga dunia masih belum kebah dari cengkaman wabak Covid-19 yang mengesankan tidak hanya aspek kesihatan, tetapi hampir seluruh sendi kekuatan negara dan sistem masyarakat.

“Maka, berdepan dengan era pascanormal (postnormal times) yang dicirikan oleh keberantakan (chaos), kerumitan (complexity), pertentangan (contradiction) akan bantu kita mengemudi jalan keluar. Kemelut yang tercetus mempunyai kelajuan (speed), cakupan (scope), skala (scale) dan keserentakan (simultaneity) yang membimbangkan.

"Akibatnya, adalah memangsakan rakyat; merosakkan ekosistem dan menggugat rantaian bekalan makanan," katanya.


Ekonomi tambah baik tapi ketirisan berterusan - PM

4.05 petang: Anwar memulakan ucapannya dengan memberi gambaran luas ekonomi.

Dia berkata kewangan negara tertekan oleh sistem subsidi yang terdedah kepada ketirisan dan pergantungan kepada import makanan.

Hutang kolektif Putrajaya ialah RM1.5 trilion dalam bentuk hutang atau 82 peratus daripada KDNK, manakala caj pembayaran hutang ialah RM46.1 bilion (15.2 peratus daripada hasil) sahaja.

Pada nota positif, beliau berkata, inflasi adalah rendah, pada 2 peratus bagi bulan Ogos, terendah di rantau ini manakala separuh pertama 2023 menyaksikan pelaburan langsung sebanyak RM132.6 bilion, 60 peratus lebih tinggi daripada sasaran, di mana separuh daripada jumlah itu.

Pertumbuhan KDNK untuk 2023 dijangka sebanyak 4 peratus.

Sasaran belanjawan defisit lebih rendah

4.00 petang: Bajet 2024 dijangka tidak jauh lebih tinggi daripada yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari kerana Putrajaya menyasarkan untuk menguasai defisit bajet di bawah paras 5 peratus KDNK.

Hasil dijangka meningkat berikutan keadaan ekonomi yang lebih baik dan melalui cukai keuntungan modal untuk pelupusan saham tidak tersenarai.

Sementara itu, hasil bukan cukai diunjurkan menurun, terutamanya disebabkan oleh dividen yang lebih rendah daripada Petronas.

Jumlah bajet untuk 2024: RM393.8 bilion

(↑ 3.3 peratus, 2022: RM386.1 bilion)

Perbelanjaan operasi: RM303.8 bilion

(↑ 5.1 peratus, 2023: RM289.1 bilion)

Perbelanjaan pembangunan: RM90 bilion

(↓ 7.2 peratus, 2023: RM97.6 bilion - termasuk RM13.2 bilion pembayaran balik hutang)

Hasil untuk 2024: RM303.2 bilion

(↑ 3 peratus, 2023: RM294 bilion)

Unjuran defisit untuk 2024:

4.3 peratus (2023: 5 peratus - anggaran)