Belanjawan 2024: Perlindungan sosial masih belum cukup - pakar ekonomi
Walaupun peningkatan dalam pembayaran tunai Rahmah dinaikkan kepada RM10 bilion atau maksimum RM3,700 dialu-alukan, ia hanya bersamaan dengan RM92 sebulan secara purata dan ia dilihat masih bukan program perlindungan sosial yang betul.
Begitu juga, peruntukan RM2.4 bilion untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi 450,000 orang adalah bersamaan RM440 sebulan untuk golongan termiskin dan paling terdedah, yang dilihat tidak banyak peningkatan dari segi perlindungan sosial.
Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata Belanjawan 2024 juga tiada butiran yang dijanjikan mengenai sistem gaji progresif mahupun mengenai rasionalisasi subsidi jangka panjang.
"Kerajaan sekali lagi mengabaikan masalah struktur terbesar pencen dan perlindungan sosial.
"Rangka kerja fiskal keseluruhan adalah apa yang saya harapkan dapat dilihat dengan hanya peningkatan kecil dalam perbelanjaan untuk menampung inflasi, hasil yang lebih tinggi daripada pengurusan yang lebih baik dan defisit yang lebih kecil.
"Ini masih membenarkan banyak ruang untuk perbelanjaan kerajaan tanpa peminjaman yang berlebihan dan lebih bertanggungjawab dari segi fiskal daripada belanjawan sebelumnya.
"Anehnya, (Belanjawan 2024) tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada tujuh sasaran Ekonomi Madani dan tidak menunjukkan bagaimana inisiatif itu akan membantu mencapai sasaran ini," katanya.
Timbalan Pengarah Penyelidikan, Institut Khazanah Hawati Abdul Hamid pula berpendapat bahawa Belanjawan 2024 sepatutnya lebih berani dalam usaha reformasi dan perubahan struktur.
"Beberapa kebaikan untuk semua dan beberapa inisiatif. Bagi saya yang menonjol adalah pelaksanaan cukai keuntungan modal dan kenaikan cukai jualan dan pengumuman beberapa rasionalisasi subsidi.
"Tapi, kalau tak silap saya tak dengar pasal subsidi petrol. Memandangkan pilihan raya negeri telah pun habis, bajet kali ini (sepatutnya) boleh menjadi lebih berani dalam reformasi dan perubahan struktur," katanya.
Kerajaan boleh memperkenalkan semula GST
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pula berpendapat Belanjawan 2024 menunjukkan sumber hasil yang menggalakkan, tapi usaha mewujudkan ruang fiskal perlu diteruskan.
Ketua pegawai eksekutif Ideas, Dr Tricia Yeoh berkata kerajaan boleh mempertimbangkan pengenalan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada jangka masa panjang.
"Unjuran kadar pertumbuhan Malaysia sebanyak 4% ke 5% KDNK bagi belanjawan kali ini kelihatan realistik, begitu juga dengan sasaran defisit fiskal KDNK.
"Kerajaan menyasarkan pencapaian defisit fiskal KDNK berjumlah 3% dalam masa tiga hingga lima tahun lagi. Kadar ini juga diperincikan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (PFFR) yang berpotensi untuk dicapai, terutamanya apabila sumber bagi meraih hasil diumumkan.
"Misalnya, Cukai Keuntungan Modal, Cukai Barangan Mewah dan kenaikan nilai pada Cukai Perkhidmatan daripada 6% ke 8%," katanya dalam kenyataan.
Namun, menurutnya memperkenalkan semula GST mampu meluaskan asas cukai memandangkan prestasi nisbah KDNK Malaysia agak rendah berbanding negara-negara di rantau ini.
Ideas juga berkata pengurangan pada kadar peruntukan subsidi elektrik dan diesel adalah pada kadar minimum dan tidak mencukupi bagi mewujudkan ruang fiskal untuk dilaburkan bagi tujuan pembangunan dalam kadar masa panjang.
"Belanjawan 2024 memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion untuk subsidi, namun perbelanjaan subsidi untuk tahun 2023 dilaporkan hanya mencecah RM77.7 bilion setakat 12 Oktober.
"Memandangkan hasil petroleum merupakan penyumbang terbesar dalam pertambahan subsidi, kami agak bimbang dengan ketetapan kadar sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan untuk simpanan subsidi," katanya lagi.
Perlu lebih telus
Sementara itu, pembantu penyelidik di Bair Al Amanah Yugendran T Kannu Sivakumaran berkata kerajaan perlu berhati-hati dengan cadangan Cukai Keuntungan Modal.
"Pelan Cukai Keuntungan Modal adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan. Ia boleh sangat mengganggu rancangan pengembangan pelabur kerana keuntungan yang lebih rendah.
"Akhirnya, jika kerajaan melaksanakan ini, mereka perlu menyediakan pelabur dengan faedah lain untuk mengimbangi ini," katanya.
Dalam pada itu, Geoffrey berkata kerajaan perlu bersikap telus dengan inisiatif-inisiatif yang diumumkan.
"Terdapat beberapa program berguna untuk membantu syarikat pemula dan RM1.5 bilion daripada GLIC dan GLC untuk ini tetapi butirannya mestilah telus.
"Peruntukan RM44 bilion dalam kewangan dan pinjaman daripada perusahaan mikro mungkin tidak berguna kerana perniagaan yang sangat kecil menolak untuk mengambil pinjaman.
"Saya tidak menjangkakan skim ini berkesan. Mereka terus kelihatan seperti skim untuk menyalurkan dana kepada orang tengah dan bukannya kepada perusahaan mikro," katanya.
Katanya, cadangan Shop Malaysia Online bernilai RM40 juta kelihatan seperti projek praanugerah untuk pereka Web atau Aplikasi pilihan.
Sambil berkata perkara itu harus dijelaskan, dia juga berkata terdapat banyak platform ekonomi perkongsian tempatan dan antarabangsa yang sudah melakukan ini tanpa kos kepada kerajaan.
"Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia bernilai RM27 juta juga kelihatan seperti prapenganugerahan kepada ejen pemasaran dan penjenamaan dan tidak mempunyai ketelusan,” katanya.
Selain itu, menurutnya insiatif kerajaan pembiyaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai sangat mengecewakan.
"Peruntukan RM100 juta untuk pensijilan TVET adalah tidak diperlukan apabila pensijilan tersebut sudah tersedia secara meluas.
"HRD Corp juga akan memperuntukkan RM1.6 bilion untuk melatih 1.7 juta orang, kurang daripada RM1,000 setiap seorang. Ini tidak akan menyediakan latihan yang berkualiti.
"Sama seperti di bawah elaun latihan gig-ekonomi RM35 juta telah diperuntukkan untuk hanya 9,000 orang ini adalah sangat sedikit tetapi hampir RM4,000 setiap satu jauh lebih baik daripada HR Corp.
"Sekali lagi ini kelihatan seperti skim khas praanugerah," katanya.
BACA LANJUT: Apa yang tersedia untuk anda dalam Belanjawan 2024?
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai