Skip to main
Logo Malaysiakini

Pertemuan TPM, Orang Asli dilihat positif untuk pembangunan, kemudahan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pertemuan antara wakil Orang Asli bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilihat menjanjikan khabar gembira menerusi tuntutan perubahan dari segi pembangunan, prasana dan ekonomi.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata beliau bersama lebih 20 wakil Orang Asli dari beberapa pos penempatan, bertemu Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tersebut bagi menyatakan hasrat hampir 16,000 komuniti Orang Asli, di negeri itu.

“Kami minta permohonan jalan perhubungan bersepadu dipercepatkan ke tahun hadapan dan mendapat respons daripada Timbalan Perdana Menteri, yang mahu projek tersebut dijalankan pada Januari iaitu dua bulan lebih awal daripada tarikh asal.

“Sekiranya penurapan jalan dapat dilaksanakan, kami tidak lagi berdepan masalah terutama ketika musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas program Penyerahan Bakul MADANI Kepada Masyarakat Orang Asli, di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Gua Musang hari ini.

Bagi Penghulu Kampung Merlong Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Ibrahim Marijah, 66, berkata beliau mengambil kesempatan memohon penyelesaian terhadap masalah air dihadapi di kawasan pedalaman, dan berharap pertemuan tersebut menjadi detik permulaan kepada perubahan yang baik.

“Semalam telah diumumkan peruntukan besar mengenai air, jadi janganlah mereka yang tinggal di bandar sahaja dapat menikmati kemudahan ini, kerana kami sekarang masih bergelut dengan masalah air yang tidak boleh dibuat mandi dan minum.

“Jadi harapan saya agar tuntutan ini dipercepatkan untuk pembinaan sistem air bagi masyarakat Orang Asli, khususnya di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis dan pedalaman yang memerlukan air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor berkata buat masa ini, beliau mendapat maklumat bahawa pelantikan kontraktor sudah selesai dibuat melibatkan projek untuk menaik taraf jalan rosak dan tidak berturap di perkampungan Orang Asli di daerah itu, melalui KKDW yang mendapat peruntukan sebanyak RM200 juta.

“Sebagaimana Timbalan Perdana Menteri kata beliau akan cuba mempercepatkan projek berkenaan dan kita harap perkara ini menjadi kenyataan, kerana masalah pengangkutan dan perhubungan merupakan isu yang besar bagi Orang Asli.

“Kami terutamanya JAKOA Kelantan, berusaha keras dan telah membuat beberapa perolehan untuk pelaksanaan perhubungan dari kampung ke kampung, untuk akses kepada bantuan dan permohonan daripada penduduk,” katanya.

- Bernama