Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Belanjawan 2024 sejahtera dan mampan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

ULASAN | Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 baru sahaja selesai dan dari sini rakyat Malaysia sudah boleh membaca keutamaan pimpinan negara dalam memacu pembangunan negara jangka lima tahun ke hadapan.

Bajet adalah perancangan kewangan tahunan bagi mencapai dasar yang digariskan sepanjang lima tahun.

Dijangkakan penumpuan dalam RMK-12 berpandukan dua paksi utama untuk memenuhi keperluan iaitu keperluan pembangunan mampan dan keperluan untuk kesejahteraan rakyat.

Kedua paksi inilah yang membentuk ciri Belanjawan 2024 yang melihat medan baru ke hadapan dan pada waktu yang sama menyelesaikan himpitan kos sara hidup untuk kelangsungan hidup seharian rakyat.

Hakikatnya Belanjawan 2024 adalah ujian buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengoperasikan konsep Madani yang diumumkan pada awal tahun 2023.

Ramai pengkritik beliau mendakwa Madani adalah satu utopia yang tidak difahami dan sekadar retorik politik semata.

Belanjawan 2024 inilah masa dan peluang segala konsep dalam enam teras MADANI diterjemahkan dalam elemen yang dapat diukur dan dinikmati oleh rakyat.

Enam teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dibahagi kepada dua teras iaitu kemampanan yang berpaksikan Malaysia dengan wajah ekonomi baru yang mencabar dan teras Kesejahteraan yang berpaksikan membela kesusahan rakyat dalam menangani kos sara hidup.

Teras pertama garis masa pencapaiannya adalah jangka panjang manakala teras kedua adalah jangka pendek, pantas dan segera. Teras lain adalah pemangkin yang merupakan nilai-nilai yang menjamin kejayaan Belanjawan 2024 kelak.

Bagi mencapai matlamat jangka pendek, digariskan lagi perkara asas dalam menangani masalah harian yang dihadapi oleh rakyat bagi membentuk masyarakat yang sejahtera iaitu antaranya ekonomi gig.

Isu kos sara hidup kekal menjadi keutamaan dan ia sangat kritikal untuk membuktikan kerajaan perpaduan boleh melakukan lebih baik menerusi konsep Ihsan yang asasnya adalah Rahmah dan Manusiawi. Antara yang memerlukan pembelaan ialah pekerja sektor ekonomi gig.

Seramai 2.2 juta perkerja gig berdaftar dengan Suruhanjaya Digital Malaysia namun segala keperluan dari sudut kebajikan kemudahan dan insentif yang dapat membela mereka masih diperingkat minimum.

Difahamkan sebanyak RM650 juta diperlukan untuk ekonomi gig diinstitusikan secara sektor baru yang berdaya saing dan diiktirafi.

Antara permasalahan yang dihadapi adalah kadar perkhidmatan 0.25sen/ km yang dianggap rendah berbanding dengan bebanan jam yang mereka terpaksa bekerja sebagai memenuhi sumber pendapatan mereka.

Walaupun telah diumumkan pada Jumaat lalu, namun saya berpendapat, Belanjawan 2024 perlu prihatin kepada tuntutan mereka yang terlibat dengan ekonomi gig perlu diperincikan lagi dari sudut insentif-insentif seperti skim bantuan insuran, skim bantuan kenderaan, skim bantuan penyelengaraan kenderaan, skim bantuan perkeso dan bantuan kebajikan lain bagi menjaga keselamatan dan insentif peningkatan melalui latihan dan bimbingan.

Mereka juga perlu kepada pengiktirafan seperti kerajaan membantu menubuhkan Koperasi Pekerja Gig di mana kemudahan asas seperti pinjaman kenderaan, kebajikan dan pembelaan ke atas sektor ini dapat disalurkan secara rasmi oleh kerajaan.

Kelompok besar anak muda dalam ekonomi ini boleh dijadikan sebagai ruang memberdayakan social mobility dengan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran melalui biasiswa khas.

Selain itu, pelbagai faktor telah menjejaskan bekalan dan dikaitkan dengan peningkatan kos yang membebankan rakyat. Isu ini tidak boleh diselesaikan jangka pendek kerana ia melibatkan keseluruhan rantaian bekalan dan faktor krisis luar negara yang diluar kawalan.

Namun, tahniah diucapkan buat perdana menteri kerana dalam pembentangan belanjawannya, beliau ada memenuhi nilai Ihsan dalam teras Madani.

Dalam hal ini intervensi kerajaan perlu berkesan supaya ketirisan dapat dielakkan. Ketirisan ini menyebabkan hak golongan yang memerlukan dirampas dan hilang di pasaran dan ini termasuk perlunya penguatkuasaan berkesan dan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang terlibat.

Ini dapat dilihat dengan Program Menu Rahmah dan Jualan Rahmah yang masih diteruskan kerana kita percaya ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan memberi ruang kitaran wang beredar dalam pasaran tempatan.

Pakej Rahmah hari ini menjadi sebutan seisi rumah kerana ia dapat meringankan sebahagian dari kos walaupun tidak berskala besar- besaran seperti regim subsidi yang lebih efejtif dan bersasar.

Antara yang ditunggu ialah sejauhmana Bajet 2024 dapat menangani isu perumahan rakyat, kesihatan awam dan program pensejahteraan rakyat.

Program Perumahan Madani perlu diberikan peruntukan untuk membina menyewa atau jual kepada golongan bersasar yang layak. Hak asasi untuk mendapat tempat tinggal sememangnya diterjemahkan dari dasar Ihsan dan Kesejahteraan.

Isu keterjaminan makanan melibatkan keseluruhan sistem rantaian bekalan, perubahan iklim dan konflik perang di arena antarabangsa. Faktor pertama rantaian bekalan boleh dikawal manakala perubahan iklim dan konflik perang adalah di luar kawalan kerajaan.

Oleh kerana itu permasalahan rantaian bekalan makanan perlu dibuka ruang baru yang yang lebih luas dan akses yang lebih mudah bagi mengatasi masalah rantaian bekalan.

Pertama ialah kebergantungan tinggi kepada bahan makanan haiwan dan pertanian yang diimport dan mahal.

Satu peluang baru perlu dibuka yang dihasilkan secara tempatan dan menggunakan bahan yang lebih selamat dan alami.

Masalahnya ialah bukan tidak ada pemain industri tempatan yang mampu menghasilkan bahan lebih hijau dan selamat tetapi tiada sistem sokongan modal untuk mereka menghasilkan secara kuantiti lebih besar.

Bahan rumpai alga yang mudah membiak mempunyai khasiat protein yang tinggi boleh digunakan untuk bahan makanan akuakultur dan kegunaan lain yang mampu mengurangkan kebergantungan bahan secara tradisional.

Kerajaan Sarawak telah menggunakan peluang ini untuk tanaman alga berskala besar untuk tujuan bahan yang lebih mampan dan selamat dalam pertanian.

Bajet kali ini dilihat sebagai peluang anjakan kebergantungan secara tradisonal kepada yang lebih mampan dari sudut rantaian bekalan pertanian.

Bagi memangkinkan ekonomi mampan, pendekatan ESG juga perlu diperluaskan melibatkan keseluruhan sistem kewangan, infra dan undang-undang yang menyokong ke arah ekonomi mampan.

Pelaburan mampan dan bertanggungjawab perlu berada pada keutamaan dari sudut pelaporan audit, penyenaraian bursa dan sistem kewangan yang berdasarkan Maqasid dalam kerangka VBI (Value Base Intermediary).

Pengukuhan konsep Maqasid melalui Institut Maqasid Antarabangsa perlu diwujudkan sepertimana yang dihasratkan oleh Perdana Menteri. Malaysia boleh menjadi hub kajian ekonomi berpandukan Maqasid dan mampu menjadi rujukan dunia.

Diharapkan dengan pembentangan Belanjawan 2024 ini, ia dapat dijadikan sebagai bajet solusi semasa yang memerlukan pendekatan mendesak bagi mengatasi kos sara hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Pada waktu yang sama anjakan kepada ekonomi baru yang lebih mampan dan hijau perlu diberi perhatian bagi menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030).


MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah dan pengerusi Nadwah Ulamak (NUNJI).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.