Skip to main
Logo Malaysiakini

KOMENTAR | Menunggu kuasa Arab bersatu

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

KOMENTAR | Entah berapa kali Arab dan Israel berperang sejak saya lahir 63 tahun lalu. Saya juga tidak pasti berapa ramai yang cedera dan terbunuh sepanjang tempoh enam dekad itu kerana peperangan hanya memakan korban secara percuma.

Setiap kali Arab - Israel berperang, saya pasti hanya dua perkara ditonjolkan: jumlah kematian rejim Zionis sentiasa dipalsukan sebagai agenda untuk membuktikan mereka bangsa pilihan dan suprakuasa.

Media antarabangsa lebih cenderung kepada berita tentang 'kejahatan' Palestin yang dilabel pengganas di kawasan Yahudi.

Media tidak akan menyiarkan angka sebenar korban bagi memastikan Israel kekal dilihat bangsa terpilih. Ia sebahagian daripada propaganda yang wujud di bilik berita media massa antarabangsa.

Saya juga pasti perang Israel - Palestin tidak akan mengukuhkan perpaduan umat Islam dan Arab. Banyak negara monarki Arab yang kaya dek telaga minyak kekal mengambil sikap membisu kerana bimbang kepentingan ekonomi mereka terjejas.

Israel wujud hasil percaturan kuasa ekonomi, politik dan agama sejak 1948. Tanpa dukungan AS, British dan Eropah Barat, mustahil Zionis mampu berkuasa dengan jumlah penduduk hanya ratusan ribu manusia ketika itu.

Pendatang Yahudi dari Jerman, Rusia dan Poland dibawa ke Asia Barat bagi mengelak mereka melakukan kejahatan di Eropah. Yahudi memang terkenal licik dan oportunis. Justeru kewujudan negara Israel di Timur Tengah adalah perancangan Barat.

Kuasa Barat akan terus mempertahankan rejim haram Zionis bagi memastikan industri minyak dan gas kekal dalam kawalan mereka. Negara Arab feudal yang kaya sumber asli akan terus pekak dan bisu.

Mereka adalah 'Yahudi' versi Arab.

Ulang cerita lama

Saya tidak percaya perang sejak 7 Okt lalu akan akhirnya menyatukan Arab untuk melawan Israel. Sebaliknya yang kaya akan terus mengekalkan kekayaan mereka. Arab miskin yang cenderung kepada sosialis sekadar bersuara menyokong Palestin tanpa upaya membantu melawan.

Negara yang menguasai dua kota suci Islam pula tidak pernah menentang Zionis walaupun sikap angkuh itu amat ketara.

Israel ditubuhkan pada 14 Mei 1948. Keesokan harinya, Israel diserang pakatan tentera Lubnan, Syria, Jordan, Mesir, Iraq dan negara Arab yang lain.

Dalam peperangan itu Israel bukan saja mengalahkan tentera bersekutu Arab bahkan merampas lebih 70 peratus wilayah Palestin. Itulah yang membawa kepada warga Palestin menjadi pelarian di negara sendiri, dan monarki Arab tetap membisu.

Perang terkini bagai mengulang cerita lama. Pada hari kedua (8 Okt) korban di Gaza meningkat 313 orang ekoran serangan udara terhadap Gaza. Sekali lagi kita tidak tahu berapa ramai warga Israel yang maut. Kematian mereka adalah rahsia berzaman.

AFP melaporkan dakwaan Hamas bahawa seramai 1,990 orang cedera. Sehari sebelumnya Hamas melepaskan ribuan roket ke Israel. AP pula melaporkan Hizbullah Lubnan menembak roket dan peluru di tiga wilayah Israel di sepanjang perbatasan Dataran Tinggi Golan.

Hanya Hizbullah yang berani membantu Hamas ketika ini.

AP juga melaporkan tentera Zionis membalas serangan ke wilayah Lubnan ketika banyak syarikat penerbangan utama melencongkan mengelak ruang angkasa Tel Aviv.

American Airlines, Air France, Lufthansa, Emirates dan Ryanair memilih bandar Eilat yang merupakan landasan kedua terbesar di Israel. Lufthansa membatalkan semua penerbangan ke Tel Aviv dan terus memantau perkembangan situasi semasa.

Brussels Airlines, Air France, Transavia juga membatalkan semua penerbangan ke Tel Aviv sehingga keadaan 'pulih'.

Itu membuktikan serangan Hamas memang memberi kesan besar terhadap rejim Zionis. Sekali lagi, saya tidak percaya dengan kewartawanan Barat yang hanya mendedahkan jumlah yang terkorban sedangkan rakaman video menggambarkan situasi yang lebih gawat.

Menanti ketegasan PLO

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, memberitahu negara Arab bahawa Israel sebenarnya tidak mampu memberikan sebarang perlindungan walaupun ada hubungan ekoran normalisasi diplomatik sejak beberapa tahun lalu.

Ismail juga berkata pejuang Palestin berhasrat meluaskan pertempuran di Gaza ke Tebing Barat dan Baitulmaqdis sehingga ke "tengah entiti Zionis."

Pada 27 Sept lalu Menteri Pelancongan Israel, Haim Katz, berkunjung ke Arab Saudi, sekali gus mencatat sejarah sebagai lawatan diplomatik pertama kali dengan Riyadh.

Dunia terkejut tetapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Katz menghadiri persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Lawatan dua hari itu berlaku ketika Riyadh mencari potensi formaliti perjanjian dua hala dengan Tel Aviv.

Palestin pula menyifatkan semua perjanjian Israel dengan negara Arab sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan.

Ketika perang entah bila tamat, saya menanti ketegasan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang begitu gagah berani semasa Perang 1973 serta kumpulan Fattah yang suatu dulu nekad menyerang kekuatan Zionis.

Ketika ditubuhkan pada 1964, PLO berhasrat menghapuskan negara Israel melalui tindakan bersenjata. Piagam PLO pertama menekankan pemusnahan Israel, pemulangan hak serta kebebasan penduduk Palestin.

Namun PLO kini menegaskan konflik Arab-Israel boleh diatasi melalui penyelesaian dua negara, yakni penubuhan bersama negara Palestin yang bersempadan dengan Israel.

Pada 1993, Arafat dalam surat rasmi kepada Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin, mengiktiraf kedaulatan Israel. Israel lalu mengiktiraf PLO sebagai wakil sah penduduk Palestin.

Fattah terus membisu ketika Hamas bangkit menentang Zionis. Sumber kewangan yang banyak gagal membantu Palestin bersatu. Menurut laporan Perkhidmatan Perisikan Jenayah United Kingdom, PLO mempunyai aset bernilai AS$8 bilion dan pendapatan tahunan sebanyak AS$1.5 bilion melalui derma, pemerasan, perdagangan senjata haram, pengedaran dadah, pemindahan wang haram, penipuan dan sebagainya.

Akhbar harian Daily Telegraph juga menyatakan PLO mempunyai AS$50 bilion dalam pelaburan rahsia di seluruh dunia.

Saya tidak percaya laporan itu kerana agenda mereka ialah menjaga kepentingan Zionis.

Saya lebih yakin untuk bertanya: sampai bila negara Arab gagal bersatu dan membiarkan kezaliman Zionis berulang?


IMLAN ADABI adalah wartawan dan sasterawan kelas marhaen

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.