Skip to main
Logo Malaysiakini

IGP: Perintah berkurung ESSZONE dijenamakan semula - perintah kawalan pergerakan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjenamakan semula perintah berkurung di beberapa kawasan di Sabah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE).

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata penjenamaaan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian terkini ancaman keselamatan di kawasan yang berada di bawah perintah berkurung.

"Setelah penilaian keselamatan terkini dibuat, Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri Sabah, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bersetuju untuk menjenamakan semula perintah berkurung kepada ESSZONE) Sabah.

"Perintah kawalan pergerakan ini akan melibatkan kawasan perairan sama kecuali Tawau, memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan perairan di kawasan itu memuaskan," katanya pada kenyataan hari ini.

Perintah berkurung mula dilaksanakan pada 16 Jul 2014 membabitkan kawasan perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi mengekang pencerobohan serta ancaman pengganas Sulu atau kegiatan penculikan oleh kumpulan yang memeras wang tebusan di kawasan Pantai Timur Perairan Sabah.

Seterusnya, perintah berkurung ini telah diperluaskan meliputi perairan Tawau, Kinabatangan serta Beluran selepas mengambil kira keperluan keselamatan di sana.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata perintah kawalan pergerakan ESSZONE Sabah nombor satu akan bermula pada 17 Okt jam 6 petang bagi menggantikan perintah berkurung.

"Perintah kawalan pergerakan ini adalah diperlukan bagi memastikan kawasan perairan tidak diceroboh atau diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah.

"PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan," katanya.