Skip to main
Logo Malaysiakini

Tragedi Batang Kali: Hujan lebat berterusan punca tanah runtuh - TPM

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Tragedi tanah runtuh Batang Kali yang meragut nyawa di tapak perkhemahan Father's Organic Farm pada Disember lalu berlaku akibat kegagalan cerun berikutan hujan lebat berterusan, dan bukan kerana faktor manusia.

Ini menurut analisis forensik kejadian itu, maklum Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

"Hasil analisis forensik mendapati kejadian hujan (rainfall event) merupakan faktor pencetus utama akibat daripada kombinasi jumlah hujan major (major rainfall kumulatif) bagi tempoh 5 hari dan hujan anteseden (anteseden rainfall) kumulatif 30 hari sebelum runtuhan berlaku yang mana masing-masing 118.6mm dan 444.8mm.

"Hujan yang lebat ini telah menyebabkan kegagalan cerun sehingga mengakibatkan tapak perkhemahan meliputi Kawasan Hill View, Farm View dan River Side tertimbus dengan sisa runtuhan tanah sehingga menyebabkan kerosakkan harta bendan dan kehilangan nyawa.

"Siasatan tidak menemui bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh ini," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata laporan penuh yang disediakan Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) ini boleh diakses oleh orang ramai melalui laman sesawang Nadma, https://www.nadma.gov.my, mulai 10.00 pagi, 18 Oktober 2023.

Tragedi 16 Dis 2022, pada kira-kira 2.30 pagi itu, membabitkan 92 mangsa, dengan 61 daripadanya terselamat manakala 31 lagi terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan itu.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.