Skip to main
Logo Malaysiakini

RUU GEG: Mampukah Anwar tamatkan tekanan pemain industri?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rakyat Malaysia khususnya golongan daripada sektor kesihatan terkejut dengan penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau dikenali sebagai RUU Ge­nerasi Penamat (GEG).

Ia sepatutnya  dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu untuk bacaan kedua.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sendiri menyuarakan kekecewaan susulan penangguhan itu dan presidennya Dr Azizan Abdul Aziz menyifatkan perkara itu tidak boleh diterima dan “pengkhianatan” terhadap kepercayaan awam.

Sumber daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu Malaysiakini bahawa RUU ini akan dibawa semula untuk kelulusan dalam mesyuarat kabinet esok.

"Kami diberitahu RUU ini akan di bawa semula ke mesyuarat kabinet Rabu ini. Atas alasan apa? Kami kurang pasti.

"Mungkin, kami akan diberitahu (sebab ditangguhkan) selepas mesyuarat kabinet itu," kata sumber yang enggan namanya didedahkan.

Bangunan KKM, gambar hiasan

Terdahulu, sumber kerajaan berkata tekanan pemain industri tembakau antara punca utama RUU ini tidak dapat dibentangkan.

"Mungkin ramai tidak tahu. Usaha kerajaan berhubung kawal tabiat merokok telah pun dimulakan sejak tahun 2004 menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (2009).

"Jika, kita lihat sejak 2004, kita sudah ada enam perdana menteri dan tujuh menteri KKM. Tapi, masih tidak dapat selesaikan isu kawalan rokok ini.

"Sebab tekanan daripada pemain industri. Mereka sangat berkuasa dan mampu buat apa sahaja asalkan ia (undang-undang berkaitan rokok dan tembakau) tidak berjaya. 

“Ini adalah realiti yang tidak dapat dinafikan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi KKM dan dimaklumkan bahawa mereka akan menjelaskan isu berkaitan RUU itu dalam masa terdekat.

RUU GEG ini menyentuh dua aspek penting, iaitu menyelaraskan penjualan rokok, e-rokok dan vape serta melarang penggunaan, pembelian dan penjualan rokok dan produk vape kepada individu yang lahir selepas 1 Jan 2007.

Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia sebelum ini dilaporkan berkata, RUU tersebut akan menghantar “mesej salah” kepada pelabur.

Ia berkata, pemain industri sedia ada, termasuk pengeluar, pengedar, dan peruncit berkaitan sektor vape akan terjejas dan akan merugikan industri yang bernilai RM3 bilion.

Persoalannya, bagaimana pemain industri masih mampu memberi tekanan agar RUU ini tidak dilaksanakan bawah Kerajaan Madani.

"Matlamat utama pemain industri ini adalah bukan membatalkan atau memansuhkan RUU ini. Mereka cuma mahu pastikan ia tidak dibentangkan di parlimen,” katanya.

Dakwanya, terdapat cubaan melobi menteri dan beberapa anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) supaya menyatakan pandangan yang memihak kepada pemain industri.

"Apakah sebab mereka menyokong pemain industri ini, itu saya tidak pasti.

“Hanya mereka yang tahu kenapa mereka sokong supaya RUU ini tidak berjaya atau ditangguhkan," katanya.

Pada 12 Jun 2023, KKM membentangkan RUU itu bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, pada 26 Mei lepas, Dr Zaliha menyifatkan perkembangan itu merupakan kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan kabinet untuk RUU tersebut dibentang.

Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, dia berkata KKM telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baru dan RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baru termasuk elektronik serta rokok combustible.

"Bacaan kali pertama telah berjaya dilakukan.Tetapi, sekarang keputusan kerajaan menangguhkan untuk bacaan kedua sekali lagi menimbulkan pertanyaan apakah kerajaan hari ini akur tekanan pemain industri.

"Persoalan utama daripada rakyat Malaysia, apakah Anwar mampu menamat tekanan pemain industri ini yang berlarutan selama hampir 20 tahun dalam mesyuarat hari ini," katanya.