Skip to main
Logo Malaysiakini

JPN minta empat beradik tanpa kerakyatan hadir ke pejabatnya

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa empat beradik tanpa kerakyatan walaupun dilahirkan di Malaysia dan berbapakan warganegara Malaysia supaya berjumpa jabatan itu untuk tindakan lanjut.

"JPN memohon kerjasama Aziq Fadyan bersama adik beradik beliau untuk hadir ke JPN bagi membolehkan pihak Jabatan mendapatkan fakta kes dan status sebenar.

"Seterusnya membuat penelitian dan memberikan khidmat nasihat sewajarnya berkaitan prosedur permohonan kewarganegaraan," kata JPN pada satu kenyataan malam tadi.


BACA BERKAITAN:

‘Sekolah minta jangan datang selagi tiada IC’

LFL tuntut empat beradik diberikan kerakyatan


JPN memberi maklum balas terhadap laporan Malaysiakini berhubung nasib yang menimpa Aziq berusia 24 tahun, dan tiga adiknya iaitu Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12, dan Azalea Batrisya, sembilan tahun, yang dinafikan kewarganegaraan, walaupun ibu bapa mereka telah berkahwin sebelum mereka dilahirkan.

Bapa mereka, Fadil Saharudin, yang meninggal dunia baru-baru ini, warga Malaysia dan ibu mereka warga Indonesia.

Ibu bapa mereka melangsungkan majlis perkahwinan di Indonesia dan Malaysia pada 1998 sebelum anak-anak itu dilahirkan.

Aziq dan Azreen memberitahu sidang media yang diatur oleh kumpulan hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) bahawa pihak pengurusan sekolah menengah memaklumkan mereka untuk berhenti belajar kerana tidak memiliki kad pengenalan.

Bagaimanapun, JPN menggesa orang ramai supaya tidak mensensasikan kes itu.

"Kerana ianya adalah makluman dari satu pihak sahaja serta boleh memberikan tanggapan yang kurang tepat kepada perkhidmatan Kerajaan.

"Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah sentiasa tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang persoalan mengenai kewarganegaraan dan apa-apa sahaja berkaitan perkhidmatan JPN dinasihatkan untuk tidak menggunakan khidmat orang tengah ataupun platform media, sebaliknya boleh hadir terus ke mana- mana 212 pejabat JPN di seluruh Malaysia dan memberikan maklumat yang benar dan tepat beserta bukti," katanya lagi.

JPN juga berkata akan sentiasa membantu dan memberikan nasihat yang sewajarnya kerana setiap permohonan dan masalah individu akan memerlukan penyelesaian yang berbeza.