Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin: Tiada keperluan ugut MP Kuala Kangsar sokong kerajaan

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan "tiada keperluan" untuk mengancam Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari PN Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid agar menyokong kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti yang didakwa.

Kata Saifuddin, ini kerana kini ada 147 ahli parlimen yang menyokong kerajaan di Dewan Rakyat yang sudah cukup untuk meluluskan Belanjawan 2024 dan rang undang-undang lain.

"Respons saya kepada media adalah ia (dakwaan ugutan) tidak berlaku sama sekali. Ia satu tuduhan liar.

"Apa keperluan kita (untuk mengugut)? Kita sekarang ada sokongan 147 ahli parlimen," katanya ketika sidang media di World Trade Centre, Kuala Lumpur hari ini.

Kalau setakat untuk meluluskan belanjawan dan yang lain-lain, saya fikir (147 ahli parlimen) memadai," katanya yang sebelum itu mempengerusikan meyuarat jawatankuasa bersama berhubung pengurusan pekerja asing dengan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.

Iskandar Dzulkarnain

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata beban pembuktian terletak pada Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin yang membuat dakwaan bahawa Iskandar diugut untuk menyokong Anwar jika tidak ingin berdepan tuduhan rasuah.

Setiausaha agung PKR itu berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo agar Parlimen memanggil Iskandar untuk menjelaskan pendiriannya menyokong Anwar.

Pada Isnin lalu, Gobind membangkitkan Seksyen 4 Akta Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 yang memberi kuasa kepada Dewan Rakyat untuk menyiasat, menghakimi, dan mengumumkan ke atas pelanggaran sebarang tindakan yang boleh dihukum sebagai penghinaan di bawah Seksyen 29 Akta sama.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar mengumumkan sokongannya kepada Anwar namun pada masa sama kekal bersama PN.

Selain kerana isu kos sara hidup, dia berkata ia juga untuk menilai sama ada Anwar ikhlas dan mengotakan janji memberi peruntukan untuk ahli parlimen yang menyokong dasar kerajaan perpaduan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki juga telah menafikan dakwaan Hamzah dan menyifatkannya sebagai usaha untuk mencemarkan imej suruhanjaya itu.