Skip to main
Logo Malaysiakini

PN tak bertanding di Jepak, fokus di Kemaman

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Majlis Tertinggi PN memutuskan gabungan itu tidak akan meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak.

"PN akan memberikan tumpuan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya Kecil yang akan diadakan pada 2 Disember 2023.

"Dalam waktu yang sama, komponen-komponen parti dalam PN juga sedang sibuk menguruskan Mesyuarat Agung Tahunan Parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional," kata Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini PKR berkata ia juga tidak akan bertanding pada PRK Jepak.

Allahyarham Talib Zulpilip (gambar, atas) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menang besar kerusi DUN Jepak pada 2021, meraih 69.4 peratus undi popular.

Kedua-dua PH dan PN tidak bertanding di kerusi itu pada 2021.

Dua parti pembangkang yang menyertainya - Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu - kini telah memihak kepada GPS.

Selain PBB, hanya PBK yang komited bertanding di Jepak, sekali lagi meletakkan bekas anggota polis Stevenson Joseph Sumbang, 42.

Semasa pilihan raya 2021, dia kalah dan hilang wang deposit di Jepak.

Parti lain yang menyatakan minat untuk menyertai pilihan raya DUN Jepak ialah Parti Sedar Rakyat dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.

Sementara itu, kerusi parlimen Kemaman kosong selepas mahkamah pilihan raya memutuskan terdapat unsur rasuah di sebalik kemenangan PN di situ tahun lepas.

PN memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah.

Pakatan pembangkang memenangi Kemaman dengan meraih 58.1 peratus undi pada pilihan raya umum ke-15.