Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Tanda kiamat, 18 kerusi jadi kerajaan, banyak kerusi jadi pembangkang’

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengimbau sejarah panjang perjuangan parti itu sebelum mengecap kemenangan dalam beberapa tahun ini.

Antaranya, dia memberitahu muktamar PAS pernah diadakan di sebuah banglo di Johor dengan pimpinannya hadir "bersila."

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Pemuda PAS yang ke-64 malam ini di IDCC Shah Alam.

Sementara itu, Tuan Ibrahim juga sempat berseloroh mengenai kedudukan PAS dalam politik negara sejak pilihan raya umum 2018 lalu sehinggalah PRU15.

"Hari ini kita mencapai kemenangan walaupun tidak menerajui negara.

"Waktu kita ada 18 kerusi (parlimen) kita jadi kerajaan. Waktu kita berada di kerusi yang besar (PRU15) kita di pembangkang.

"Ini di antara tanda-tanda hampirnya kiamat," kiasnya sambil tersenyum.

"Patut waktu kita banyak kerusi kita duduk dalam kerajaan,” katanya lagi.

Gambar fail, Muhyiddin jadi PM selepas Langkah Sheraton.

Pada Feb 2020, PAS ikut terlibat Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH selepas kemenangan gabungan itu pada PRU14.

Ini selepas kumpulan 11 anggota parlimen - diketuai Azmin Ali - yang meninggalkan PKR bersama-sama parti Bersatu untuk bergabung dengan BN, PAS, GPS dan parti Sabah.

PAS kemudian menjadi sebahagian kerajaan persekutuan yang diterajui Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pada Ogos 2021, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan PAS masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran negara.

Muhyiddin meletakkan jawatan setelah hilang majoriti apabila 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaannya.

Seterusnya, walaupun gabungan PN menang besar pada PRU15 lalu namun kerusinya masih belum mencukupi untuk membentuk kerajaan kerana tidak ada parti yang memiliki majoriti menyebabkan parlimen tergantung.

Susulan itu, berlaku penjajaran politik baru apabila terbentuknya kerjasama politik antara PH, BN, GPS dan GRS.

Tak lama lagi, PAS kembali ke Putrajaya

Bagaimanapun, PN menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan ketika pembentukannya itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim pada malam ini turut menyuarakan keyakinan PAS akan kembali menjadi sebahagian parti yang akan memerintah Putrajaya dalam tempoh tidak berapa lama lagi.

Menurut Tuan Ibrahim pemimpin luar negara yang menemuinya juga turut menyuarakan keyakinan bahawa masa depan negara terletak ditangan PAS dan PN.

“Kita punyai peluang menerajui persekutuan dalam tempoh tidak berapa lama lagi.

“PAS parti bersama PN akan menerajui kerajaan pada masa hadapan,.

“Saya dikunjungi ramai pimpinan, wakil kedutaan asing pimpinan negara luar yang membuat kesimpulan masa depan negara terletak kepada PN dan PAS akan menerajui.

"Kita harus bersedia menerajui kerajaan pada masa hadapan.

“Pemuda (PAS) mesti melengkapkan hakikat tersebut dan bersama pimpinan menerajui kerajaan,” katanya.