PANDUANKINI l Tragedi tanah runtuh Batang Kali dan laporan forensik
PANDUANKINI l Semalam, kerajaan mendedahkan laporan forensik mengenai kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor, yang berlaku pada 16 Dis tahun lepas.
Panduankini kali ini membawa anda melalui butiran penting apa yang berlaku, dan kesimpulan laporan itu.
Apakah itu tragedi tanah runtuh Batang Kali?
Ia adalah kejadian tanah runtuh di Jalan B66, Batang Kali-Genting Highlands, Selangor, yang mengorbankan 31 orang pada 18 Dis 2022. Ini adalah jumlah kematian terbesar tragedi tanah runtuh dalam sejarah Malaysia.
Mangsa termasuk 13 kanak-kanak dari SJK(C) Moon Choong di Kuala Lumpur, yang berkhemah di Father's Organic Farm. Mangsa termuda berusia enam tahun.
Enam puluh satu yang lain terselamat, namun tujuh daripada mereka mengalami kecederaan.
Apa yang berlaku pada hari itu?
Pada jam 2 pagi, pada 18 Dis, dua kegagalan cerun berlaku selang 20 minit.
Serpihan tanah itu kemudian mengalir kira-kira 550m sebelum sampai ke ladang organik dan tapak perkhemahan tersebut.
Gelongsor pertama lebih kecil dan serpihan tanah yang mengalir itu hampir mengenai tandas tapak tersebut.
Susulan itu, pengusaha ladang, Frankie Tan berkata, dia ke khemah berhampiran dan menasihatkan mereka berpindah ke kawasan lebih tinggi.
Tanah, batu dan pokok yang terkumpul dari tanah runtuh pertama membentuk "empangan buatan sementara". Namun aliran air daripada serpihan tanah runtuh dan air sungai yang sedia ada kemudiannya memecahkan empangan ini.
"Selepas 20 minit, empangan sementara itu pecah, dan mengakibatkan tanah runtuh kedua dalam bentuk aliran serpihan, meliputi seluruh tapak perkhemahan."
Kira-kira 283,000 meter padu tanah dan serpihan dibawa melalui aliran tersebut. Ia mampu memenuhi lebih daripada 113 kolam renang bersaiz Olimpik.
Siapa pemilik tanah itu?
Kejadian berlaku di tanah pertanian dengan pegangan pajakan selama 99 tahun oleh Malaysia Botanical Gardens Resort (MBGR) Sdn Bhd.
Tanah yang dipajak daripada agensi kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKPS), bersempadan dengan sebuah hutan simpan.
Walaupun rancangan adalah untuk membina sebuah resort dan taman botani, tanah itu sebaliknya digunakan sebagai ladang organik dan tapak perkhemahan, tanpa kelulusan yang diperlukan.
Father's Organic Farm (dahulunya dikenali sebagai Tanah Gaia Sdn Bhd) memajak tanah tersebut daripada Malaysia Botanical Garden Resort dari 2016 hingga 2017 dan mengambil alih pengurusan kawasan tersebut selepas tamat kontaknya.
Mereka yang dinamakan sebagai ahli lembaga Malaysia Botanical Garden Resort ialah Kong Hong Kong, Tiiong Tjuan, dan Ong Yeh Kim.
Apa yang patut di tapak itu, jika bukan kawasan perkhemahan dan ladang?
Pada 4 Nov 2019, Malaysia Botanical Gardens Resorts mengemukakan permohonan untuk “kebenaran merancang” untuk membangunkan sebuah “resort peranginan” di atas tanah seluas 201.91 ekar. Pelan itu mengandungi tiga komponen:
Chalet dan kemudahan resort (9.66 ekar)
Taman Botani (186.74 ekar)
Jalan (5.51 ekar)
Malah, rancangan untuk membangunkan resort ini bermula pada Februari 2006.
Ketika itu, agensi negeri, PKPS telah memohon kepada pihak majlis daerah Hulu Selangor untuk mendapatkan kebenaran membangunkan Malaysia Botanical Gardens Resort di situ.
Permohonan ini tidak lulus kerana ia memerlukan kelulusan tambahan daripada pihak berkuasa perancang tempatan.
Enam tahun kemudian, pada September 2012, majlis itu melalui jabatan perancangannya membuat ulasan awal mengenai cadangan itu, merujuknya kepada jawatankuasa teknikal negeri untuk pembangunan di kawasan alam sekitar sensitif.
Empat tahun kemudian, pada Februari 2016, jawatankuasa itu menggantung permohonan tersebut kerana Laporan Rancangan Fizikal Negara 2 melarang pembangunan sedemikian di tanah tinggi melebihi 1,000m dari paras laut.
Keputusan itu dikekalkan walaupun selepas disemak pada Oktober 2016 dan sekali lagi ditegaskan bahawa hanya aktiviti pertanian dibenarkan.
Pihak yang berkepentingan sekali lagi cuba mendapatkan kebenaran untuk membangunkan resort itu pada 2017, melalui Jawatankuasa Pusat Setempat negeri.
Permohonan itu juga tidak diluluskan kerana beberapa sebab, termasuk fakta bahawa pajakan antara PKPS dan Malaysia Botanical Gardens Resort menyatakan bahawa tanah itu hanya boleh digunakan untuk pertanian dan penternakan dan pelbagai penilaian impak dan kelulusan teknikal tidak diperolehi.
Halangan ini akhirnya diatasi pada Julai 2019, pembangunannya kemudian diluluskan dan Malaysian Botanical Gardens Resort mengemukakan kebenaran perancangannya kepada majlis tempatan pada November tahun itu.
Keputusan permohonan itu, bagaimanapun, tidak didedahkan dalam laporan tersebut.
Adakah tanah runtuh itu merupakan kes terpencil di kawasan berkenaan?
Skala tanah runtuh 2022 itu adalah teruk tetapi laporan tersebut mendapati banyak kesan tanah runtuh yang lebih kecil bertaburan sekitar kawasan berkenaan.
Ini, katanya, menunjukkan kesan pergerakan tanah yang berlaku sejak 1991.
Bagaimanakah keadaan cuaca sebelum tanah runtuh?
Tanah runtuh tidak berlaku pada hari dengan taburan hujan paling lebat pada bulan tersebut.
Bagaimanapun, laporan itu menyebut bahawa hujan lebat beberapa hari sebelumnya juga boleh mencetuskan tanah runtuh.
Penyiasat mendapati struktur cerun "mengalami ketepuan air yang tinggi dan konsistensi tanah melebihi had cecair" semasa tanah runtuh.
Jadi apa punca tanah runtuh itu?
Menurut penyiasat, dua pencetus itu tidak berkaitan dengan aktiviti manusia.
Pertama ialah kehadiran "zon sesar (fault zone)", yang mana lubang gerek semulajadi dalam granit menunjukkan kelemahan di bawah permukaan. Ini, kata mereka, diburukkan lagi dengan kehadiran aliran air bawah tanah.
Kedua, adalah konfigurasi semula jadi tanah, dengan lembah itu secara semula jadi berisiko, kerana kedudukannya di antara dua kawasan berbukit dengan bentuk muka bumi asal. Cerun curam serta kepekatan bahan di lembah itu, mewujudkan keadaan yang sesuai untuk tanah runtuh.
"Wwalaupun imej satelit dari Mac 2018 menunjukkan beberapa aktiviti manusia di kawasan itu, sukar mewujudkan hubungan sebab-akibat yang signifikan di antara aktiviti ini dengan kejadian tanah runtuh berkenaa,” petik laporan itu.
Apakah cadangan para penyiasat?
Penyiasat mencadangkan langkah mitigasi dan pencegahan serta peta risiko bahaya cerun.
Ini termasuk memanjangkan pelaksanaan Pelan Induk Cerun Negara (2009-2023) untuk 15 tahun akan datang bagi meningkatkan pengurusan cerun, terutama dalam menghadapi perubahan iklim.
Mereka juga mencadangkan penggunaan teknologi canggih untuk mengesan risiko kegagalan cerun, dan penguatkuasaan undang-undang dan garis panduan untuk tapak perkhemahan dan rekreasi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai