Zuraida bersama 19 NGO anjur Himpunan 1,000 Wanita Melayu
Bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengetuai 19 NGO akan menganjurkan persidangan anita Melayu pada 28 Oktober.
Katanya, pihak penganjur akan menjemput bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Zuraida berkata walaupun majlis itu diberi nama Himpunan 1,000 Wanita Melayu namun dia menjangkakan lebih seribu orang akan hadir.
"Melalui penyertaan merentas parti, tujuan berhimpun untuk mendapatkan kata sepakat dalam menangani cabaran ekonomi dan politik semasa," katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kata Zuraida, penganjur telah menerima kira-kira 1,500 pendaftaran untuk penyertaan ke himpunan itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam dari 8:00 pagi hingga 5:00 petang pada 28 Oktober.
Wakil daripada 19 NGO di seluruh negara akan berkumpul dan akan ada 10 perwakilan yang akan membahaskan isu berkaitan aspek politik, ekonomi dan pendidikan mengenai wanita Melayu.
Zuraida berkata antara tokoh yang akan hadir, Prof Dr Solehah Yaacob, pemimpin Bersatu Mas Ermieyati Samsudin, pemimpin PAS Nuridah Salleh dan Haniza Talha.
Zuraida juga ditanya jika pemimpin wanita lain daripada parti politik berbeza akan dijemput hadir ke majlis itu, termasuk isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Kita terbuka program ini kepada semua wanita (Melayu)," katanya menjelaskan program itu merentasi parti politik.
"Jadi banyak yang buat pendaftaran secara dalam talian. Tak pasti Wan Azizah tengok online atau tidak.
"Kita mengalu-alukan kedatangan Wan Azizah, The First Lady Of Malaysia untuk menyuarakan keprihatinannya terhadap wanita Malaysia," katanya lagi.
Pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Kemudiannya pada Dis tahun lalu juga, dia dan 10 ahli PBM lain dipecat ekoran krisis dalaman PBM yang berlegar di sekitar isu pelantikan presidennya.
Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden Muafakat Nasional.
Pada PRU ke-15, Zuraida bertanding atas tiket PBM dalam cubaannya mempertahankan kerusi parlimen Ampang.
Bagaimanapun dia yang pernah menjadi ketua Wanita PKR gagal dan hilang deposit.
Kerusi parlimen Ampang dimenangi calon PH, Rodziah Ismail yang memenanginya dengan majoriti 29,681 undi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai