Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya lebih terbuka, kawan semua orang - Ketua Pemuda PAS

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan dirinya seorang yang terbuka dan mempunyai cara tersendiri berbanding mantan ketua pemuda sebelum ini.

Katanya, dia juga tiada masalah untuk menyokong apa saja dasar kerajaan yang baik.

"Saya seorang yang terbuka.. boleh berkawan semua orang, contohnya ketika perbahasan (parlimen) kelmarin, saya bangun menyokong hujah YB (Ahli Parlimen) Jelutong.

"Ada benda yang betul kita sokong dan setuju walaupun datang daripada parti lawan," katanya ketika ditemui selepas pemilihan jawatankuasa pemuda PAS yang berlangsung di IDCC, Shah Alam, semalam.

Afnan merujuk ucapan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer ketika membahaskan RUU Perbekalan 2024 kelmarin memaklumkan kepada Dewan Rakyat telah diangkat sebagai pengerusi Lembaga Wakaf Hindu di Pulau Pinang.

Rayer mengusulkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya memberikan lebih banyak peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Pada saat itu, Afnan bangun mencelah perbahasan mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pihak yang memberi wakaf ini diberi pelepasan cukai supaya menggalakkan mereka berwakaf dan membantu juga kerajaan dalam hal itu.

Rayer menyambut baik cadangan itu, berkata ini pertama kali dia melihat "seorang ahli parlimen dari sebelah sana melontarkan satu idea yang begitu bernas.

"Saya minta ucapan Yang Berhormat Alor Setar dimasukkan dalam ucapan saya sendiri," kata ahli parlimen Jelutong.

Dalam pada itu, Afnan mengulas tentang gaya kepimpinannya, berkata tumpuannya lebih kepada membina pelapis Pemuda PAS sebagai persediaan pilihan raya yang akan datang.

"Masing-masing ada style (gaya) sendiri, saya mahu jadi diri sendiri," katanya.

"Saya mahu melahirkan pemuda yang multi skills (pelbagai bakat), yang bukan saja mahir hal-hal tarbiyah, tapi boleh bercakap soal negara dan masyarakat serta mampu menyesuaikan diri dalam (pelbagai lapisan) masyarakat.

Bukan moden, tapi ikut 'trend'

"Saya nak tumpukan kepada pembangunan bakat dan kita nak jadi pembangkang yang konstruktif, yang mampu mengemukakan solusi kepada masalah dihadapi rakyat," katanya lagi.

Afnan turut mengakui tidak menjangkakan akan memenangi pemilihan jawatan ketua Pemuda PAS tanpa pencabar.

"Saya tak jangka tidak bertanding, biasanya ada paling kurang dua calon... YB Ahmad Fadhli (Shaari) pun ada pertandingan," katanya.

Bekas ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Afnan menjelaskan dia dipilih oleh 109 dari 120 kawasan dan menang tanpa bertanding selepas tiada pencalonan lain.

Ulas ahli parlimen Kota Setar itu lagi, Pemuda PAS kini harus mampu menyesuaikan diri dengan arus semasa.

"Saya tidak sebut 'moden' tapi lebih menyesuaikan diri dengan kehendak dan trend semasa tapi tidak bermaksud menggadaikan prinsip perjuangan.

"Kita (Pemuda PAS) tak boleh terlalu eksklusif, kena bersedia untuk orang lain yang bermacam-macam..

“Jadi kena sesuaikan dengan pelbagai keadaan," katanya lagi.