Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi sindir k'jaan: Nilai ringgit menghampiri 'harga Rahmah'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Situasi mata wang negara ini, kata Muhammad Sanusi Md Nor, seolah-olah sudah mencapai nilai "harga rahmah" apabila kadar tukaran asing berbanding dolar kini menghampiri RM5.

Menyindir keadaan ekonomi sekarang, menteri besar Kedah itu berkata penyusutan nilai mata wang ringgit ketika ini adalah yang paling rendah dalam tempoh 25 tahun.

Dakwa Sanusi keadaan itu berlaku kerana kegagalan Anwar Ibrahim mentadbir negara ini.

“Ringgit berbanding dolar (AS) ialah pada 4.78... menghampiri harga Rahmah RM5,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis ceramah sempena Muktamar Tahunan PAS ke-69 di Shah Alam, malam tadi.

Selain Sanusi, turut berucap ialah tiga lagi menteri besar di negeri ditadbir parti itu bersama PN iaitu Samsuri Mokhtar (Terengganu), Mohd Nassuruddin Daud (Kelantan) dan Mohd Shukri Ramli (Perlis).

"Rahmah" adalah jenama yang diperkenalkan kerajaan perpaduan khususnya membabitkan inisiatif makanan yang menetapkan sesebuah menu langkap pada harga maksimum RM5 setiap satu.

Ia dikemukakan Allahyarham Salahuddin Ayub yang ketika itu berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai respon terhadap isu peningkatan kos sara hidup semasa.

Menurut Sanusi apabila nilai ringgit semakin jatuh harga barang akan menjadi lebih mahal.

Katanya jika nilai seesuatu barangan yang dibeli itu berharga RM80 bilion pada bulan lalu, ia akan meningkat menjadi jadi RM90 bilion atau RM100 bilion pada bulan akan datang.

“Dia (Anwar) semasa dia jadi pembangkang selalu cakap nilai ringgit jatuh sebab hang (kerajaan PN) tak pandai jaga negara ini.

"Sekarang ini kita kata dekat dia sama: duit jatuh sebab hang tak reti jaga negara ini,“ katanya.

Cabar Rayer kemuka bukti

Ringgit dibuka lemah berbanding dolar AS dan jatuh ke paras terendah dalam tempoh 25 tahun pada 19 Okt lalu.

Menurut Blooomberg nilai mata wang tempatan menyusut kepada 4.7615 pada Khamis dan merupakan paras paling rendah sejak krisis kewangan Asia melanda pada 1997.

Menurut Bloomberg, prestasi hambar ringgit juga sejajar dengan penurunan nilai mata wang lain di Asia ketika bahawa bank pusat AS dijangka mengekalkan kadar faedah lebih tinggi.

Minggu lalu, Anwar memberitahu parlimen bahawa kerajaan sedang meneroka inisiatif untuk menggalakkan negara berdagang dalam mata wang tempatan.

Kata perdana menteri ia selaras dengan pandangannya agar Malaysia mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS.

Anwar berkata Malaysia telah mengadakan beberapa rundingan dengan China, Indonesia dan Thailand dan mula menggunakan mata wang tempatan dalam urus niaganya.

Sementara itu Sanusi dalam ucapannya turut mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, agar mengemukakan bukti bahawa dia pernah mencaci Anwar.

“Kalau (Ahli Parlimen) Jelutong anak jantan, mai (datang), hang jangan dok salah begitu saja. Apa yang saya caci, beritahu.

“Jangan dok menyalak di belakang tu, aku nak dengar (bukti) hang tuduh aku caci PM. Caci tang (di) mana....apa yang aku caci,” katanya lagi.

Terdahulu hujan lebat sepanjang petang di Shah Alam menyebabkan padang yang disediakan bagi program pidato tersebut menjadi becak.

Namun ia tidak mematahkan semangat hampir 500 hadirin mendengar pidato yang disampaikan. Mereka mula memenuhi padang terbuka itu seawal jam 9 malam.