Skip to main
Logo Malaysiakini

Che Alias: PAS Kemaman hanya cadang saya jadi calon PRK

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Bekas ahli Parlimen Kemaman Che Alias Hamid berkata hanya namanya yang dicadangkan PAS Kemaman sebagai calon PN dalam pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Parlimen itu yang dijadual berlangsung 2 Disember ini.

"Setakat ini, hanya satu nama sahaja dicadangkan Pas kawasan Kemaman tapi apa pun bergantung kepada keputusan pimpinan pusat," katanya ketika ditemui di Muktamar PAS ke-69 di Shah Alam, Selangor semalam.

Che Alias menyuarakan keyakinan akan dapat mengulangi kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam PRK nanti berdasarkan peningkatan sokongan kepada PAS seperti yang dapat dilihat dalam PRN lalu.

"Rakyat Terengganu dan juga Kemaman selesa dengan kepimpinan Pas, Menteri Besar Samsuri Mokhtar dan kerajaan negeri.

"Kedua, orang melayu semakin menolak Umno yang bersama DAP hari ini, dan isu-isu seperti masalah ekonomi, nilai ringgit menyusut, kos sara hidup naik dan juga kekurangan bekalan makanan asas, yang menyebabkan rakyat semakin fed up dengan kerajaan hari ini," katanya lagi.

Menjadi ahli Parlimen Kemaman sejak PRU14, Che Alias menang besar dalam PRU lalu apabila meraih majoriti 27,179 undi, mengalahkan tokoh BN Terengganu Ahmad Said, Hasuni Sudin (PH) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).

Namun pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangannya selepas pemetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Hanafiah Mat

Sementara itu, Adun Chukai Hanafiah Mat berkata akar umbi Pas Kemaman sebulat suara bersetuju mahu Che Alias dicalonkan kembali.

"Kita cadang bekas calon (Che Alias), setakat ini itu sahaja nama yang kita hantar ke negeri. Kita mahu mengekalkan ahli parlimen kita yang lama kerana selain dikenali, dia diterima di peringkat akar umbi dan sokongan juga masih tidak berbelah bahagi.

"Tinjauan setakat ini di tempat-tempat awam menunjukkan masyarakat Kemaman, termasuk anak-anak muda, tidak menerima PH dan BN kerana mereka akan bawa DAP ke Terengganu jika menang," katanya.

'Boleh kekalkan jika tiada masalah'

Sementara itu berdasarkan tinjauan rawak Malaysiakini dengan beberapa perwakilan PAS Terengganu di muktamar, mereka bersetuju untuk Che Alias dicalonkan semula.

Antaranya Nu'man Abd Aziz, 33, yang mahu calon lama dikekalkan dan yakin Pas akan menang selesa pada PRK nanti.

"Kita mahu calon sebelum ini dikekalkan tapi ia tertakluk kepada keputusan pimpinan pusat. Pada pandangan saya, calon yang terpilih sudah pasti ada 'keberkatan' kerana perlu melalui proses pemilihan majlis syura," katanya yang merupakan seorang guru.

Bagi Siti Aisyah Hassan, 29, pula yang bekerja sebagai pegawai eksekutif, dia berpandangan kepimpinan parti perlu meneliti isu rasuah yang dibangkitkan dalam petisyen pilihan raya dan Che Alias boleh dikekalkan jika tiada isu.

"Kalau calon yang sama tidak ada masalah, boleh kekalkan (sebagai calon). Kalau ada masalah, kita boleh tukar tapi setakat ini, calon (lama) masih okey," katanya.

Manakala jurutera, Mustakir Muhammad, 38, berharap PAS memilih calon lebih muda yang mampu bersuara mengenai keperluan pembaharuan dan pembangunan di Kemaman.

"Kita mahu calon muda dan cergas tapi saya rasa Pas akan mengekalkan calon sama sebab hendak membuktikan calon tersebut tidak bersalah (atas dakwaan rasuah).

"Tapi kalau boleh, saya nak calon muda yang banyak idea, lantang dan boleh membawa pembaharuan," katanya.