Skip to main
Logo Malaysiakini

Laporan: Israel musnahkan masjid tertua di Gaza

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Masjid tertua di Gaza, Masjid al Omari, musnah selepas menjadi sasaran serangan udara Israel, kata pegawai Palestin.

Kementerian Dalam Negeri Gaza berkata, sebuah pesawat Israel menyasarkan masjid di bahagian utara Semenanjung Gaza, yang membawa kepada kemusnahannya, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Masjid ini wujud sejak abad ke-7, dan telah musnah beberapa kali semasa perang dan bencana alam sebelum ia dipulihkan pada tahun 1925.

Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa setakat ini.

Agensi berita Palestin Wafa melaporkan bahawa pesawat pejuang Israel telah meneruskan serangan udara di Semenanjung Gaza malam tadi, termasuk menyerang kem pelarian di tengah Gaza yang dipanggil al-Bureij. Insiden itu membunuh dan mencederakan beberapa mangsa, katanya.

Dalam laporan sebelum ini, Wafa berkata Israel juga telah melepaskan peluru berpandu ke arah empat menara kediaman di kawasan al-Zahra di tengah Gaza selepas mengarahkan penghuninya meninggalkan rumah mereka.

Sementara itu, bercakap pada taklimat media di luar Hospital al-Shifa di Gaza City, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin berkata tujuh hospital utama dan 21 pusat kesihatan di Gaza kini "tidak beroperasi".

Sebanyak 46 kakitangan perubatan dan 23 ambulans telah musnah, lapor Al Jazeera.

UNRWA, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin, berkata dua lagi kakitangannya telah terbunuh di Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan 16 orang.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung PBB Antonia Guterres berkata dia sedang melibatkan semua pihak untuk memastikan trak yang membawa bantuan ke Gaza dapat melepasi lintasan sempadan Rafah dari Mesir secepat mungkin.

Menurut CNN, kira-kira 200 trak yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza masih tersekat di Mesir sementara menunggu usaha diplomatik untuk membuka persimpangan Rafah bagi membolehkan sehingga 20 trak melalui penghantaran awal.

Ia berkata rundingan diteruskan apabila pekerja membaiki jalan yang rosak akibat pengeboman Israel, manakala pihak berkuasa Mesir telah mula mengalihkan blok simen di pintu masuk ke persimpangan sebagai persediaan untuk pembukaannya.

Bagaimanapun, menurut ketua bantuan PBB Martin Griffiths, kemungkinan penghantaran awal akan jauh lebih rendah daripada biasa.