Skip to main
Logo Malaysiakini

Indonesia minta majikan M'sia beri pekerja cuti mengundi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Tenaga Kerja Indonesia Ida Fauziyah, memohon majikan Malaysia memberikan pekerja Indonesia cuti pada hari pemilihan presiden negara itu pada Februari.

Negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu akan mengundi pada 14 Feb 2024, tetapi pengundi luar negara, termasuk mereka di Malaysia, akan mengundi pada Ahad, 11 Feb, yang juga merupakan hari kedua perayaan Tahun Baru Cina.

“Hubungan antara kedua-dua negara kita sejak sebelum kemerdekaan negara masing-masing dan Malaysia bukan sahaja jiran rapat dengan Indonesia tetapi juga negara persaudaraan, dengan ikatan yang kukuh,” katanya.

Bercakap kepada khalayak yang terdiri daripada majikan utama buruh asing Indonesia dari sektor perladangan, pembuatan dan pembinaan semasa lawatan tidak rasmi ke Kuala Lumpur malam tadi, rayuan Ida hadir sebagai persediaan untuk sekurang-kurangnya 245,000 rakyat Indonesia keluar mengundi di Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia menganggarkan 700,000 pengundi negara itu di Malaysia dan menjangkakan 35 peratus keluar mengundi.

"Apabila pekerja dilayan dengan baik dan berasa selesa di tempat kerja mereka, ia akan memberi manfaat kepada majikan," katanya.

Ida turut mengulangi pentingnya pihak berkepentingan, termasuk agensi kerajaan, agensi pengambilan pekerja dan majikan dalam melaksanakan terma Memorandum Persefahaman (MoU) Perlindungan Pembantu Rumah yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada April 2022.

“MoU itu merupakan manifestasi muhibah kedua-dua negara untuk melindungi pekerja rumah tangga Indonesia yang bekerja di Malaysia yang dicapai melalui Sistem Satu Saluran yang merupakan satu-satunya mekanisme untuk pengambilan dan penempatan mereka.

“Kami gembira dengan kemajuan yang kami capai selepas pelaksanaan MoU dan sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan melalui sesi Kumpulan Kerja Bersama kami,” katanya.

Pengundi Indonesia mempunyai tiga pilihan untuk mengundi - mengundi terus di pusat pengundian khusus (Tempat Pemungutan Suara), melalui pos dan melalui peti undi mudah alih (Kotak Suara Keliling).

Bergantung kepada kawasan pilihan raya masing-masing, pengundi dijangka menerima empat atau lima kertas undi.

[Baca laporan asal]