Skip to main
Logo Malaysiakini

PN Pahang pelik kerajaan negeri tak tahu pasal tol Genting

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan Pahang dan menteri bertanggungjawab diminta memberi penjelasan mengenai khabar angin pembinaan plaza tol di Genting Highlands yang gambarnya tular baru-baru ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Saifuddin Abdullah mengakui terkejut apabila kerajaan Pahang mendakwa tidak mempunyai maklumat berkaitan pembinaan plaza tol itu.

"Saya pun tahu daripada berita, jadi saya berharap kedua pihak - kerajaan negeri Pahang dan menteri yang bertanggungjawab di Persekutuan kena jelaskan.

"Sangat menghairankan kalau ada tol dibina di situ dan kalau benar kerajaan negeri Pahang tak tau," katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Gambar menunjukkan kerja pembinaan plaza tol berhampiran bulatan Gohtong Jaya itu mula tular di media sosial Facebook sejak 17 Oktober lalu.

Semalam, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dilaporkan berkata perkara terbabit tidak pernah dibangkitkan semasa majlis mesyuarat kerajaan negeri.

"Belum ada apa-apa yang rasmi mengenai laporan berita ini. Kami (kerajaan Pahang) tidak pernah membincangkan cadangan tol," katanya sambil menambah pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff juga dilaporkan tidak tahu mengenai laporan itu dan sedang mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan.

Bagaimanapun, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd dilaporkan mengesahkan berita mengenai pembinaan tol terbabit kepada Sin Chew Daily.

Syarikat itu juga memaklumkan mereka akan mengendalikan tol berkenaan.

"Pemandu hanya dikenakan bayaran ketika naik ke Genting Highlands, bukan semasa turun," kata jurucakap itu sambil memberitahu pihaknya belum dapat mengesahkan bila tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.

‘Jangan ambil keputusan politik’

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat mengenai pengumuman Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) Australia untuk menutup semua operasi di Malaysia kecuali kilang pemprosesan karbonat campuran nadir bumi.

"Tutup sepenuhnya atau sementara ia tetap membabitkan kebajikan pekerja. Jadi kita sedang dapatkan maklumat lengkap mengenai perkara itu.

"Isu Lynas ini pada saya, ada masanya dipolitikkan, cerita tentang keburukan akibat radioaktif menjadi kandungan penting dalam ceramah sesetengah ahli politik.

"Seingat saya sudah ada tiga jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat sama ada bahaya atau tidak kerja-kerja Lynas ini.

"Saya harap apa saja keputusan dibuat sekarang ini tidaklah berdasarkan pendirian politik," katanya.

Semalam, Lynas dalam laporan suku tahunannya menyatakan cadangan tersebut akan bermula pada suku Disember tahun ini.

Semasa penutupan, kakitangan utama di Malaysia untuk operasi retak dan larut resap akan digunakan di kemudahan baru syarikat itu di Kalgoorlie, Australia untuk membantu proses permulaan kitaran pemanasan tanur.