Skip to main
Logo Malaysiakini

Kandungan Palestin disekat: KKD akan panggil pengendali TikTok

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan memanggil pengendali aplikasi TikTok berikutan aduan netizen mendakwa terdapat sekatan berkaitan kandungan Palestin.

"Saya melihat ada beberapa pengguna di Tiktok yang bangkitkan isu bila kandungan mereka yang mengandungi perkataan seperti Hamas dan beberapa perkataan lain, secara automatik telah diturunkan.

"Ada satu pengguna nyatakan dia letak status mesej 1.20 pagi, 1.21 pagi telah diturunkan kerana kononnya pelanggaran garispanduan komuniti (community guidelines).

"Dalam isu ini saya telah berhubung dengan pihak TikTok untuk mendapatkan penjelasan.

"Tapi, penjelasannya bagi saya tidak memuaskan, jadi saya mungkin akan minta panduan daripada Wisma Putra tentang beberapa perkara dan akan panggil (pengendali TikTok)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan setiakawan untuk Palestin anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCare di Dataran Merdeka hari ini.

Dia juga mengesahkan aplikasi Facebook bagaimanapun tidak mengadakan sebarang sekata seperti TikTok.

"Saya sendiri ada terima mesej bahawa terdapat sekatan dari Facabook atau pengendalinya Meta.

"Bila saya rujuk Meta rantau Asia Tenggara, mereka kata itu adalah mesej yang tidak benar dan bukan daripada pihak Facebook atau Meta.

"Pada masa ini tidak ada sekatan seperti (TikTok) dalam Facebok," katanya.

Katanya, KKD juga mungkin mengadakan satu taklimat bersama media.

"Ini supaya kita dapat menjelaskan beberapa perkara ini yang dapat kita sampaikan nanti. Insyallah, (taklimat) dalam minggu ini," katanya.