Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim tak selidik, tuduh Perak langgar arahan eksport REE - MB

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menempelak dakwaan PAS bahawa kerajaan negeri melanggar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu sebagai dangkal dan tidak menyelidik terlebih dahulu sebelum membuat spekulasi bagi mewujudkan persepsi tidak baik kepada kerajaan negeri.

"Beliau (Tuan Ibrahim) perlu tahu bahawa projek perintis NR-REE di tanah berkeluasan 87.4 hektar di Mukim Kenering, Hulu Perak ini bermula setelah memperoleh kelulusan dari segi perundangan daripada agensi teknikal selain kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri, dan Perak negeri pertama yang mengusahakannya.

"Sebagai projek rintis kita kalau mahu tahu nilai pasaran NR-REE, terpaksa kena eksport kerana negara kita tidak mempunyai kilang untuk untuk proses dan ia dilakukan sebelum larangan eksport dikeluarkan September lepas, sedangkan kita sudah jual sejak Januari lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Ulangtahun Ke-5 Geopark Lembah Kinta dan Pelancaran International Geopark Run 2024 @ Ipoh Low Carbon Day di Dataran Bandaraya Ipoh di Ipoh hari ini.

Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berangkat merasmikan program berkenaan dan turut berangkat ke majlis itu Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Menurut Saarani kerajaan negeri ketika mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut meminta agar Perak diberikan moratorium dalam penjualan NR-REE.

Tuan Ibrahim jangan runsing

"Kita minta diberikan pengecualian untuk mengeksport serta menjual NR-REE hingga NRECC ada keputusan dan peraturan berkait NR-REE di seluruh negara.

“Walaupun negeri lain turut mempunyai NR-REE, Perak adalah pemulanya, jadi beliau (Tuan Ibrahim) tidak perlu runsing tentang perkara ini.

"Kita akan terus mencari gali hingga ada peraturan yang tidak membenarkan kita menjual, malah kita telah membuat unjuran hingga penghujung tahun ini dengan Perak dijangka menjana hasil royalti sekitar RM21 juta," katanya.

Beliau berkata hasil lawatan pihaknya ke Nanning, China turut melihat sendiri bagaimana NR-REE diproses untuk menghasilkan 15 elemen lain dan ia berbaloi.

"Kita turut berkesempatan melihat sendiri bagaimana mereka (China) memulihkan kembali kawasan yang digali dengan menjadikan kawasan yang subur dengan tanaman buah-buahan dan lain-lain lagi," katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim dilapor mempersoalkan tindakan kerajaan Perak yang mengeksport NR-REE sedangkan kerajaan melarang sebarang eksport berkaitan sumber bahan mentah yang bernilai tinggi itu.

Menurutnya NR-REE mampu menjadi potensi pendapatan negara yang amat besar, justeru kerajaan perlu memastikan dasar larangan eksport NR-REE dipatuhi.

- Bernama