Hadi: PH penakut jika tak bertindak pada isu 3R 'sebenar'
Presiden PAS menempelak kerajaan kerana menggunakan isu 3R untuk menekan pengkritik yang memberi nasihat kepada kerajaan.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berpendapat bahawa isu agama, kaum dan raja-raja (3R) yang "sebenar" melibatkan perkara yang mengancam agama Islam dan undang-undangnya.
Dia menempelak kerajaan kerana menggunakan isu 3R untuk menekan pengkritik yang memberi nasihat kepada kerajaan.
"Sekarang ini, cabar undang-undang syariah ini mencabar umat Islam. Mencabar Allah, tuhan kita mencabar tuan nabi kita.
"Ini tak boleh dibiarkan kita wajib bangkit menentang usaha-usaha menyerang syariah ini.
"Inilah 3R yang sebenar tidak boleh dicabar. Bukan 3R mengkritik, menasihati kerajaan, menasihati orang Melayu, kaumnya.
"Ini bukan 3R, ini mencabar Islam, mencabar Allah, mencabar raja-raja," kata ketika berucap pada majlis penutupan Muktamar PAS ke 69 di Shah Alam hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak memperincikan dakwaan mengenai kes 3R ‘sebenar’ menurut kefahamannya itu.
"Saya cabar kerajaan PH ini supaya berani bertindak (pada isu) 3R yang sebenar. Kalau tidak penakut," katanya.
Hadi antara beberapa tokoh pembangkang yang disiasat kerana menyentuh isu 3R, selain dua bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, Abdul Hadi disiasat di bawah Akta Hasutan berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.
Dia berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.
Katanya, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.
Kes itu sebahagian daripada kes agama, raja dan kaum (3R).
Sementara itu, Hadi secara sinis menyindir PH dalam ucapannya apabila mengingatkan ahli-ahli parti supaya menjauhi sikap zalim dan berdendam seperti yang dilakukan gabungan itu selepas menjadi kerajaan.
"Bila kita (PAS) jadi kerajaan, kita jangan buat zalim.. jangan balas dendam.
Ahli jangan dedah kelemahan PAS
"Ini diajar dalam Islam, diajar nabi. Kita bersabar, anggaplah itu pendidikan dalam perjuangan.
"Jangan jadi macam PH, bawa naratif putar belit kezaliman (bila jadi kerajaan), mereka tak nampak mereka zalim padahal mereka zalim, tapi menguar-uar bawa keadilan, tatakelola baik dan sebagainya, tapi tak buat,” dakwanya.
“Kita (PAS) mesti buktikan (PAS tak zalim) di negeri yang kita perintah, kita mahu jadi kerajaan yang adil kepada semua, sama ada mereka menyokong atau menentang kita, kita mesti membuktikan ini," katanya.
Hadi turut menggesa ahli untuk tidak mendedahkan kelemahan dalam PAS kepada pembangkang, sebaliknya bekerjasama untuk memperbaikinya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai