Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke: DAP tiada masa bercakap tentang masa lalu macam MCA

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu tiada masa mahupun berminat untuk berbahas berkenaan perseteruan lalu dengan MCA.

Loke berkata tidak seperti MCA, partinya memberi tumpuan kepada masa depan.

"Kami tiada masa untuk bertikai berkenaan rasa tidak puas hati pada masa lalu dengan mereka. Mereka mungkin ada masa lapang, jadi mereka terus bercakap tentang isu-isu lama.

"Ini perbezaan antara dua parti. Satu parti melihat masa depan, satu lagi melihat ke belakang. Biar rakyat putuskan parti mana yang mewakili harapan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan DAP Negeri Sembilan hari ini.

Dia diminta mengulas kenyataan bekas ketua pemuda MCA Nicole Wong semalam, agar tidak bekerjasama dengan DAP memandangkan DAP sentiasa menyerang mereka sebelum ini.

Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon setuju dengan saranan Wong tetapi berkata kerjasama untuk isu-isu tertentu boleh dipertimbangkan jika DAP setuju dengan perjuangan dan prinsip MCA.

Nicole Wong

Mengulas lanjut, Loke berkata parti yang tidak bercakap tentang masa depan adalah "tidak bermakna".

"Di bawah kepimpinan saya, DAP fokus kepada masa depan Malaysia.

"Masa depan Malaysia adalah menjamin keamanan dan keharmonian sosial, mempertahankan kepelbagaian dan kepentingan minoriti serta menjamin pertumbuhan," katanya lagi.

Loke juga menegaskan DAP memahami peranan yang perlu dimainkan, antaranya memastikan kestabilan politik, keberkesanan kerajaan, pelaksanaan dasar yang baik, menarik pelabur asing dan menjamin pertumbuhan ekonomi.

Katanya lagi, asas kerjasama kerajaan perpaduan adalah menerusi gabungan seperti PH, BN, GPS dan GRS.

"Ketika kami menubuhkan kerajaan, kami tak menubuhkannya dengan MCA dan Umno secara individu. Sebaliknya, ia adalah kerjasama antara gabungan," katanya.

Kedudukan MCA

MCA mendapati parti itu diketepikan selepas kerajaan perpaduan dibentuk, dengan Umno dilihat semakin dekat dengan DAP.

Ketika mesyuarat agung tahunan MCA hari ini, presiden Wee Ka Siong berkata MCA sanggup untuk bergerak sendirian jika rakannya dalam BN terus berusaha ke arah pakatan baru.

Berkenaan saranan Wong tersebut, Wee berkata MCA akan "bergerak ke hadapan untuk rakyat."

"Ia bergantung kepada isu, ia bergantung kepada untuk apa," katanya.

MCA hanya memegang dua kerusi Parlimen, iaitu Wee di Ayer Hitam dan naib presiden Wee Jeck Seng di Tanjung Piai.

MCA juga tidak memegang sebarang jawatan kabinet.