Skip to main
Logo Malaysiakini

'MCA sedia bergerak sendiri jika rakan komponen cari kerjasama baru'

Artikel ini sudah 9 bulan diterbitkan

MCA sedia untuk bergerak sendiri jika rakan komponennya dalam BN mahu membentuk kerjasama politik yang baru, menurut presidennya Wee Ka Siong.

Berucap di perhimpunan agung MCA di Kuala Lumpur hari ini, Wee membangkitkan betapa PRU lalu telah membawa kepada perubahan dalam BN.

Dia juga menekankan pentingnya untuk bekerjasama dengan pemimpin yang betul bagi memulihkan dan memperbaharui BN, yang tewas dalam PRU 2018 dan bekerjasama dengan PH - seteru lamanya - selepas PRU lalu.

Katanya, sejak ditubuhkan BN telah menjadi model kepada perkongsian kuasa dan kerjasama politik pelbagai kaum.

"Namun, tidak dapat dinafikan keputusan PRU15 telah membawa kepada perubahan halus dalam hubungan antara parti komponen BN dan semangat konsensusnya telah diuji.

"Maka MCA mesti berganding bahu dengan individu-individu berwawasan dari parti BN yang lain untuk memperbaharui BN dan memulihkan terasnya," katanya.

Wee menegaskan pentingnya untuk parti-parti komponen untuk bersatu bagi memastikan BN bersedia untuk menghadapi PRU16 dan kembali ke politik arus perdana.

BN tidak boleh selamanya menunggu untuk dibantu dan bergantung kepada pihak lain, katanya lagi.

"Dengan mengandaikan ada parti komponen BN berubah hati dan mahu mencari cinta baru, memilih untuk meninggalkan sekutu yang selama berdekad bersama-sama berdepan cabaran.

"Maka, MCA tekad untuk bergantung kepada diri sendiri dan bergerask secara bebas, walaupun ia bermaksud bermula dari kosong," katanya.

Norma baru dalam politik

Mengingatkan perwakilan yang politik adalah seni mengubah perkara mustahil menjadi tidak mustahil, Wee berkata tiada parti dominan dalam landskap politik hari ini.

Katanya lagi, norma baru politik adalah kerajaan gabungan dengan parti politik mencari sekutu baru.

Justeru, katanya, MCA terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik yang sederhana dan selari dengan prinsipnya.

Namun, dia menegaskan tugas segera adalah untuk mengukuhkan MCA antaranya menerusi pembaharuan, mengangkat pemimpin berbakat, menambah baik 'kecergasan' organisasi dan menguatkan kemampuan mobilisasi.

"Kita mesti buktikan bahawa kita adalah sekutu yang berpengaruh dan ada daya tarikan, yang boleh menambah nilai kepada rakan dan gabungan politik. Hanya dengan itu, di tengah keadaan yang berubah, kita boleh merampas peluang untuk bangkit semula," katanya lagi.

Dia juga menggesa agar ahli MCA untuk tidak berputus asa, dengan berkata bahawa politik adalah "perjalanan yang panjang".

"Sentiasa bersedia pada setiap masa, sentiasa jalankan tugas dengan baik, buat yang terbaik untuk manfaat orang ramai.

"Selagi kita terus berusaha, saat gemilang kita akan tiba nanti dan kita akan dapat mewujudkan kegemilangan untuk parti sekali lagi," katanya.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada wakil parti komponen BN yang hadir di perhimpunan agung MCA kali ini.