Muktamar ke-69 PAS: Anwar , Zahid dan Israel terus jadi bidasan
Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-69 telah melabuhkan tirainya petang semalam dengan pelbagai cerita.
Muktamar kali ini kembali diadakan di Shah Alam. Kali terakhir ia diadakan di ibu negeri Selangor itu adalah pada November 2013.
Seperti biasa, ramai penyokong parti itu yang mengikuti Muktamar PAS kali ini untuk mendengar pelbagai agenda parti daripada pemimpin mereka. Tidak kurang juga yang menjangkakan muktamar kali ini akan panas dengan pemilihan barisan kepimpinan baru.
Namun, 'suhu pemilihan' boleh dikatakan biasa saja apabila tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.
Kebanyakan kepimpinan sesi 2023-2025 adalah muka lama yang mengepalai parti Islam itu.
Bermula Jumaat lalu, siri ceramah yang diadakan sebaik persidangan dewan sayap-sayap parti ditangguhkan menjadi medan mengkritik, menyuarakan rasa tidak puas hati dan malah mengutuk pentadbiran kerajaan perpaduan dan kepimpinannya.
Antara yang menjadi mangsa sudah tentu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal mentadbir negara ekoran kejatuhan nilai ringgit.
Turut sama menjadi sasaran adalah timbalannya yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Kehadiran pertama Dr M
Muktamar kali ini juga menyaksikan kehadiran buat julung kalinya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang dahulunya merupakan seteru utama PAS namun kini menjadi penasihat kepada empat kerajaan negeri yang ditadbir parti itu dan PN.
Kehadiran bersejarah Mahathir di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam diumumkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan disambut laungan takbir para perwakilan.
"Selamat datang Tun Mahathir ke muktamar PAS," katanya yang ketika itu sedang menyampaikan ucapan ketika perasmian muktamar.
Dr Mahathir kemudian ditempatkan di pentas bersama pemimpin PAS lain.
Kali pertama Dr Mahathir muncul di pentas PAS adalah pada Julai lalu dalam ceramah parti itu ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) di Kelantan.
Turut mencuri tumpuan adalah ucapan penggulungan Ketua Pemuda PAS yang baru, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyentuh isu poligami.
Afnan ketika memulakan ucapannya membacakan serangkap pantun yang berbunyi:
“Pemuda Islam gagah berani,
Hujah mereka berapi-rapi,
Tiada istilah takut bini,
Sayang isteri tiada bertepi,
Apa guna berkain batik, kalau tidak dengan sucinya,
Apa guna beristeri cantik kalau tidak dengan budinya.”
Afnan yang juga ahli Parlimen Alor Setar namun kemudiannya memohon maaf dan menegaskan ucapannya berhubung isu poligami adalah kenyataan peribadi dan tidak mewakili Dewan Pemuda.
“Ucapan daripada perwakilan pemuda PAS Pusat semalam adalah pandangan peribadinya dan bukan mewakili pendirian rasmi Dewan Pemuda dan dia telah dipecat semalam dan dilantik semula pagi ini,” seloroh Afnan.
Dia kemudian merakamkan penghargaan kepada para isteri yang menurutnya menjadi tulang belakang kepada perjuangan PAS.
Pelancaran MyOnePas
Pada Muktamar kali ini juga PAS telah melancarkan 'super apps' MyOnePas dalam usaha mendigitalkan pentadbiran dan pengurusan parti.
Ia sekaligus melakar sejarah apabila PAS menjadi parti politik pertama di Malaysia yang mempunyai aplikasi sendiri.
Takiyuddin berkata aplikasi tersebut akan merangkumi segala maklumat berkaitan keahlian, sumbangan dan maklumat parti.
MyOnePas menawarkan fungsi seperti e-dompet dan ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi ini akan diperluaskan dengan SkimPas, Pasti, PasNews, PasPay, PasPoll, PasMonitor, PasApps, PasDeal, PasMoney, Pas Experience, Pas999 dan PasData.
Aplikasi ini dibangunkan PasPay Merchant dan turut dilengkapi kad prabayar Mastercard bagi membolehkan ahli membuat transaksi seperti pembayaran tanpa tunai dan pembayaran dengan kod QR.
Sepanjang muktamar, hadirin juga diberi peluang untuk membida sebuah motorsikal dengan nombor pendaftaran PAS 9008.
Qunut Nazilah untuk Palestin
Setakat Jumaat, difahamkan bidaan mencapai RM11 ribu dan hasil kutipan akan diserahkan kepada rakyat Palestin yang kini berdepan konflik dengan regim Zionis Israel.
Selain itu, PAS menerusi badan perhubungan negerinya telah melancarkan tabung sumbangan bagi membantu umat Islam di Palestin. Sumbangan akan diuruskan serta disalurkan melalui PASRelief.
Lagu yang kini trending di radio dan platform media sosial, Haruman Terindah nyanyian Lokman Naufal juga antara yang menjadi siulan hadirin apabila ia kerap dimainkan sepanjang muktamar berlangsung, selain lagu-lagu nasyid berkenaan Palestin.
Di akhir setiap persidangan, doa Qunut Nazilah dibacakan untuk Palestin.
Di acara penutup muktamar, doa wahdah sekali lagi begema di IDCC.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Riduan Mohd Nor diberi kepercayaan untuk mengepalai bacaan doa tersebut diiringi Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan seluruh barisan kepimpinan di pentas utama.
Semua perwakilan dan pemerhati juga berdiri sebagai tanda kebersamaan membela nasib rakyat Palestin yang sekian lama ditindas Zionis.
Di tengah konflik yang berlaku, antara tetamu jemputan kali ini adalah wakil dari negara-negara Islam serta wakil pertubuhan Jihad Islam Palestin, Khalid Abu Samra.
Selain penjualan mafla bermotifkan Palestin, suasana muktamar juga dipenuhi bendera-bendera negara itu yang berkibar megah dan laungan pembebasan daripada perwakilan yang hadir.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai