Skip to main
Logo Malaysiakini

Larang bertakbir libatkan isu 3R, kata MP Machang

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal mendakwa penganjur perhimpunan pro-Palestin semalam menyentuh dan menghasut isu 3R (kaum, agama dan raja-raja).

Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu dibuat dengan merujuk kepada laporan berita mendakwa kumpulan Viva Palestina Malaysia (VPM) menghalang orang ramai daripada bertakbir semasa protes diadakan di Dataran Merdeka.

“Ini 3R dengan menuduh sesiapa yang melaungkan takbir sebagai ekstremis.

“Mengapa penunjuk perasaan semalam dihalang daripada melaungkan takbir? Malah ada seorang menteri dan anak perempuan perdana menteri pada majlis itu," katanya semasa mengadakan sidang media di parlimen hari ini.

Kenyataan Ketua Pemuda Bersatu itu merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, serta bekas ahli parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Wan Ahmad Fayshal mengadakan sidang media itu kerana tidak berpuas hati dengan sikap pihak kerajaan berhubung isu 3R yang dibangkitkan hari ini.

"Mengapa isu ini diabaikan dan tidak dibangkitkan?" katanya.

Semalam portal berita Scoop memetik Pengerusi VPM Musa Mohd Nordin sebagai berkata, laungan takbir akan menyebabkan peserta bukan Islam tersisih daripada orang Islam.

“Kami (VPM) membuat kenyataan rasmi bahawa (perhimpunan itu) adalah untuk masyarakat berbilang kaum dan agama.

"Kami mahu semua orang bersama-sama melaungkan (slogan), jadi jika kamu bertakbir, maka kamu mengasingkan orang bukan Islam dalam khalayak ramai," katanya.

Musa juga berkata dia percaya kumpulan yang berkeras mahu bertakbir itu adalah kelompok yang agak konservatif dan ekstrem dengan menganggap konflik di antara Israel dan Palestin) hanyalah melibatkan masyarakat Muslim dan Yahudi.

Pada masa sama Musa mendakwa dia tidak melarang takbir dilaungkan.

"Tetapi peraturan asas (himpunan) sangat jelas dari awal. Mereka fikir mereka boleh menyatakan keislaman mereka, tetapi VPM menghormati kumpulan agama lain,” katanya dipetik.

Malaysiakini sudah menghubungi penganjur himpunan berkenaan dan difahamkan mereka akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjawab perkara itu tidak lama lagi.

Seorang penunjuk perasaan menyatakan rasa hairan dan kecewanya apabila peserta himpunan diminta agar tidak mengangkap plakad mengecam pemimpin Israel.

Dia juga kecewa apabila penganjur seolah-olah melindungi AS dan Israel.

Orang bukan Islam juga, katanya, harus dididik untuk memahami bahawa takbir adalah laungan suci bagi umat Islam yang bertujuan untuk bersatu.

Dia turut berpendapat walaupun penganjur cuba membawa perspektif kemanusiaan, mereka akhirnya merendahkan Islam.

[Baca berita penuh]