Isu 3R: Madani jangan terus guna 'undang-undang hutan' - Takiyuddin
PARLIMEN | Pemimpin Perikatan Nasional (PN) berpendapat kerajaan perlu menggubal Rang Undang-Undang (RUU) khusus bagi menangani isu berkaitan agama, kaum dan raja-raja (3R).
Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan mendakwa undang-undang sekarang masih kurang jelas dalam menafsirkan isu 3R.
"Kita sebenarnya tidak jelas apa kesalahan yang dikaitkan dengan 3R ini.
“Apakah kesalahan yang boleh diklasifikasikan dalam perkara yang tergolong dalam 3R ini?
"Adakah apa-apa tentang agama, kaum dan raja atau apa, tahap mana?
“Saya setuju dengan (Ahli Parlimen) Kuala Selangor (Dr Dzulkefly Ahmad) supaya buat undang-undang biar telitikan perkara ini dan apa yang tidak boleh disebut," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Dr Dzulkefly mencadangkan kerajaan supaya menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Kebencian Kaum untuk menangani ucapan kebencian.
Takiyuddin berkata para pemimpin yang kini berada dalam kerajaan pernah mengkritik undang-undang sedia ada sebagai tidak sesuai.
"Kerajaan Madani ada hari ini perlu melaksanakan (undang-undang) ketamadunan.
"Jangan melaksanakan teruskan undang-undang yang dulu yang dikatakan drakonian atau sebagai undang-undang hutan," katanya lagi.
Terdahulu, pendirian kerajaan berhubung isu 3R menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan mesyuarat parlimen, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) meminta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu 3R serta asas perundangan yang diguna pakai untuk melarang rakyat Malaysia daripada menyentuh perkara tersebut.
Muhyiddin mengemukakan soalan itu ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.
Katanya, dia telah dipanggil oleh pihak polis sebanyak lima kali untuk disoal siasat membabitkan isu 3R.
Dalam jawapannya, Saifuddin berkata Perlembagaan Persekutuan, Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Hasutan 1948 menjadi asas perundangan yang digunakan dalam menangani isu 3R.
“Pendirian kerajaan, apa juga perbuatan, kenyataan, hantaran, ucapan dan seumpamanya yang bertentangan dengan undang-undang untuk hal 3R adalah tidak dibenarkan.
“Provokasi, hasutan libatkan raja-raja boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan, selain daripada itu akan atau boleh guna Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Menurutnya, polis sehingga kini sedang menyiasat 104 kes 3R membabitkan kedua-dua pihak sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan juga menyambut baik syor Dzulkefly yang mencadangkan RUU Kebencian Kaum itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai