Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin perjelas kenapa Muhyiddin disiasat kes 3R

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail membidas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam penyiasatannya terhadap isu berkaitan agama, kaum dan raja-raja (3R).

Ini berikutan Muhyiddin (PN - Pagoh) ketika bercakap di Dewan Rakyat hari ini, mendakwa polis akan memanggil sesiapa saja yang bercakap mengenai isu 3R, tanpa mengira konteks.

Pengerusi PN itu berkata dia "takut untuk bercakap sekarang" selepas mendakwa dirinya telah dipanggil oleh polis sebanyak lima kali mengenai kes 3R.

Dalam soalan tambahannya, Muhyiddin berkata tidak pernah ada ketua polis negara yang mengatakan isu 3R adalah terlarang sehingga kini.

Oleh itu, dia meminta Saifuddin menjelaskan kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain untuk mengelak daripada disiasat berkaitan isu 3R.

Dalam jawapannya, Saifuddin menjelaskan polis hanya menjalankan siasatan apabila terdapat laporan dibuat berhubung isu yang dipercayai berbaur hasutan.

Dia kemudian memperincikan sebab Muhyiddin disiasat polis berhubung isu 3R.

"Yang tak boleh apa? (Kenyataan Muhyiddin bahawa) mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi. Itu tak boleh lah.

"Pada 17 September 2022, jam 5 petang, aduan telah dibuat di atas ucapan (ahli parlimen) Pagoh dalam Ceramah Mega PN Best pada 16 September 2022 di Padang Bukit Muar Parit Jawa. Ini disebut.

"Jadi polis terpaksa buka siasatan. Sebab ada aduan, apa kalimahnya? Nak cakap tentang bangsa Melayu, Islam agama yang suci murni, silakan.

"Tapi bila sampai kepada (dakwaan Muhyiddin mengenai) 'bahaya PH kerana menaja kumpulan Yahudi', dan menyebabkan kristianisasi di Malaysia, polis siasatlah.

"Tan Sri (Muhyiddin) dipanggil untuk beri kenyataan kepada polis. Tak ada dihina (dia) dipanggil pegawai polis, bagi kenyataan (bawah Section) 112 (Kanun Tatacara Jenayah). Habis la. Itu saja," katanya lagi.

Bukan Muhyiddin saja

Pada 18 Nov tahun lepas, Muhyiddin mendakwa kenyataan yang dikaitkan dengannya bahawa PH adalah "ejen Yahudi" telah diambil di luar konteks.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memetik contoh lain, termasuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (PN - Marang) yang mendakwa kerajaan PH, dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara, telah cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan, menyingkirkan Islam dan mencabar hak istimewa orang Melayu.

Selain itu, katanya Hadi sekali lagi menyentuh isu 3R semasa penggulungan Muktamar PAS ke-69 semalam.

"Marang sebut lagi 3R ini patut dikenakan kepada perkara yang mengancam agama Islam dan undang-undang. Bukan ambil tindakan kepada orang yang menasihati kerajaan atau menasihati orang Melayu tentang 3R.

"Nasihat tak ada masalah. Tapi bila sebut perbuatan ini adalah mencabar Islam, mencabar Allah mencabar raja-raja, tapi tak disebut siapa cabar, ungkapan di mana?

"Dalam konteks inilah IGP berikan nasihat (supaya tak sentuh 3R)," kata menteri dalam negeri lagi.