Skip to main
Logo Malaysiakini

Bantuan kemanusiaan PBB mula masuk ke Gaza

Artikel ini sudah 10 bulan diterbitkan

Dua konvoi pertama yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza telah dibenarkan melalui laluan Rafah di sempadan wilayah itu dengan Mesir, menurut laporan media.

Bagaimanapun, agensi Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih banyak lagi bantuan yang diperlukan Gaza.

Konvoi pertama sebanyak 20 trak dilaporkan masuk ke Gaza pada Sabtu manakala sebuah lagi konvoi 14 trak melintasi sempadas pada malam tadi.

Bekalan itu sebahagian kecil bantuan yang telah siap menunggu di sempadan selama beberapa hari sementara para diplomat berhujah mengenai apa dan bagaimana ia yang boleh dibenarkan masuk ke Gaza.

Laporan media mengatakan trak itu membawa makanan, air, ubat-ubatan dan peralatan perubatan, produk kebersihan wanita dan banyak lagi.

Bagaimanapun, Israel telah melarang bahan api dibawa masuk ke Gaza kerana bimbang Hamas boleh mendapatkannya untuk tujuan ketenteraan.

Menurut New York Times, anggota keselamatan Israel dilaporkan memeriksa kandungan konvoi kedua untuk senjata dan peluru walaupun konvoi pertama telah menjalani proses dipercepatkan yang mengecualikannya daripada pemeriksaan.

Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) mengalu-alukan ketibaan konvoi bantuan itu tetapi berkata ia "jauh daripada mencukupi."

Pertempuran berterusan

“Untuk menjadi bermakna, Gaza memerlukan bekalan kemanusiaan yang tidak terganggu dan dipertingkatkan,” kata Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini.

Dia berkata agensi itu akan kehabisan minyak dalam masa tiga hari, yang diperlukan untuk hospital beroperasi dan kedai roti serta menyediakan air bersih.

"Saya menyeru semua pihak dan mereka yang mempunyai pengaruh ke atas mereka untuk segera membenarkan bekalan bahan api ke Semenanjung Gaza dan memastikan bahan api digunakan dengan ketat untuk mengelakkan kegagalan tindak balas kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, pertempuran berterusan di dalam dan sekitar Semenanjung Gaza serta lebih jauh.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) hari ini mendakwa telah menyerang 320 sasaran di Semenanjung Gaza sepanjang hari lalu, serta beberapa kedudukan Hizbullah di Lubnan.

The New York Times berkata pertempuran di sepanjang sempadan utara Israel dengan Lubnan semakin sengit dan Israel telah mengarahkan pemindahan lebih banyak kampung di sepanjang sempadan.

Malaysia mengekalkan satu batalion tentera pengaman di Selatan Lubnan sebagai sebahagian daripada misi PBB untuk memantau perjanjian gencatan senjata antara Lubnan dan Israel.

Bernama memetik Ketua Angkatan Tentera Malaysia Mohammad Ab Rahman berkata anggotanya selamat dan menjalankan tugas mereka seperti biasa.

Sementara itu, BBC melaporkan Israel telah melakukan serangan udara terhadap sebuah masjid di Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki pada hari Ahad, mendakwa Hamas menggunakan premis itu.

Menurut laporan harian UNRWA, setakat 8 malam pada hari Sabtu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan 4,385 orang terbunuh di Gaza sejak konflik memuncak pada 7 Oktober, termasuk 1,756 kanak-kanak dan 967 wanita.

Angka kematian di pihak Israel pula kira-kira 1,400 warga Israel dan warga asing, kebanyakannya terbunuh semasa serangan Hamas pada 7 Okt.