Tak boleh biar industri REE macam jual sayur, ikan bilis - MP
PARLIMEN | Howard Lee (PH-Ipoh Timor) menggesa kerajaan menggubal undang-undang persekutuan bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE), berikutan pengumuman kerajaan negeri diberi kuasa untuk menerokai bidang tersebut.
Katanya, peraturan mesti dilakukan di peringkat persekutuan untuk mengelakkan eksploitasi industri dalam jangka panjang.
"Potensi REE ini ternyata sangat luas, dan pihak kerajaan tidak boleh membiarkan kekayaan ini diekploitasi sewenang-wenangnya macam jual sayur dan ikan bilis.
"Kerajaan justeru dicadangkan supaya menggubal sebuah rang undang-undang atau menubuhkan agensi kerajaan persekutuan bagi mengawalselia, mengurus dan dan membangunkan keseluruhan rantaian nilai REE.
"Kerajaan negeri tak mampu dan takkan mampu buat sendiri,” katanya semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Awal bulan ini, Menteri Sumber Negara, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan kerajaan negeri dibenarkan menjalankan penerokaan awal unsur nadir bumi (REE), mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
Kata menteri itu, jawatankuasa menyelaras pembangunan industri mineral juga akan melihat keperluan mewujudkan rangka kerja nasional untuk membangunkan industri mineral.
Mengibaratkan industri REE dengan perang minyak pada masa lalu, Lee berkata nadir bumi adalah komoditi yang mempunyai kepentingan geopolitik yang tinggi.
Sementara itu, Lee berkata agensi kerajaan persekutuan, seperti Petronas, adalah penting dalam membangunkan industri itu.
"Kalau petroleum - kita ada Petronas. REE - kita juga perlukan sebuah agensi atau GLC yang akan kemudi hasilnya, berteraskan dasar dan undang-undang yang sewajarnya.
"Maka timbul persoalan, adakah kita ada hasil kekayaan REE yang signifikan?
"Sudahkah ada pihak yang sedang cuba merintis jalan untuk menjarah kekayaan ini tanpa memberi pulangan kepada rakyat, negeri dan negara?
"Petronas ada ratusan peguam, financial and commodity analysts, economists dengan kepakaran undang-undang khusus dalam bidang minyak dan gas dalam perundingan, dalam trading model.
"Kerajaan negeri mananya mampu upah," katanya.
Menurut Lee, inilah sebabnya kerajaan persekutuan menggubal kerangka undang-undang bagi mengawal selia industri REE.
"Ambil kira kesan jangka panjang penghasilan REE kepada negara, agar hasil dan kekayaan ini tidak dijarah oleh pihak luar lalu menggugat kedaulatan negara.
"Bunyinya mungkin sedikit nasionalis, tetapi itulah hakikatnya - kita kena pertahan dan perjuangkan," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata deposit REE Malaysia antara yang paling penting di dunia ini dan menjadi potensi ekonomi yang belum diterokai.
Industri REE juga, kata menteri itu dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar negara (KDNK) menjelang 2025, mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.
BACA BERKAITAN:
Audit: Projek rintis REE di Hulu Perak patuhi SOP - KP JMG
MP ingatkan tragedi Bukit Merah: Pemprosesan REE ada risiko
Kecurian REE: Ada bukti bawa mahkamah - Sanusi jawab Saifuddin
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai