Skip to main
Logo Malaysiakini

Pendakwaan, aktivis kemuka rayuan terhadap dua kes jenayah

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan dalam dua kes jenayah terhadap bekas pengerusi Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke.

Rayuan pertama terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 4 Oktober lalu yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Wong terhadap pertuduhan mengingkari arahan polis untuk menghentikan rakaman langsung serbuan polis tiga tahun lalu.

Satu lagi rayuan berhubung keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 9 Oktober lalu yang menyabitkan Wong bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 kerana "mengganggu ketenteraman" susulan protes menuntut naib canselor Universiti Malaya (UM) berundur ketika majlis konvokesyen 2019.

Pihak pendakwaan memohon hukuman yang lebih tegas terhadapnya dalam kes itu.

Wong sendiri telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mengetepikan sabitan ke atasnya dan agar dia diberi pembebasan penuh, serta membatalkan hukuman terhadapnya bagi kes protes di majlis konvokesyen.

Dalam kenyataan hari ini, Wong mengesahkan dua rayuan pihak pendakwaan dan berkata dia telah dipanggil untuk mendengar rayuan bagi pertuduhan mengingkari arahan polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Oktober ini.

Katanya lagi, berhubung kes protes di konvokesyen, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 15 November untuk sebutan bagi rayuan bagi pihak pendakwaan dan juga pembelaan.

Pada 4 Oktober lalu, Mahkamah majistret Petaling Jaya memutuskan DNAA kepada Wong selepas pihak pendakwaan gagal mengemukakan kesemua lima saksinya pada hari itu, yang telah ditetapkan untuk perbicaraan penuh.

Wong didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana ingkar perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

Walaupun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon tarikh pendengaran baru, majistret Sharil Anuar Ahmad Mustapha memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Wong atas sebab kes itu sudah lama tertangguh.

Sharil Anuar juga berkata pihak pendakwaan sepatutnya bersedia dengan semua bukti yang diperlukan, bukannya berdepan dengan keadaan di mana saksi tidak dapat hadir ke mahkamah.

Sementara itu, pada 9 Oktober 2023, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengenakan denda sebanyak RM5,000 kepada Wong selepas mendapatinya bersalah "mengganggu ketenteraman" bagi kes protes di majlis konvokesyen.

Majistret Illi Marisqa Khalizan berkata pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap dakwaan yang dibuat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

[Baca berita asal]