PULASAN | Biadab di mata, mereput di hati
PULASAN | Beberapa tahun lalu - atau lebih khusus, selepas PRU14 selesai - Jomo KS secara santai meramalkan bahawa politik PAS akan kembali kepada era 1980-an.
Dia membuat andaian itu dengan melihat kepada sifir politik PAS menjelang PRU berkenaan, serta pendekatan yang mereka ambil.
Sudah tentu perbezaan sikap PAS tersebut bukan saja disedari oleh Jomo, bahkan turut dilihat oleh ramai orang.
Bermula dengan pergerakan politik yang terkepung oleh lingkungan Melayu Islam, PAS kemudian meneroka medan baru pada dekad 2000-an, antara lain dengan slogan PAS For All.
Bagaimanapun langkah panjang PAS kemudian dianggap semakin terantai dengan perubahan sikap mereka yang mahu menjuarai isu ketuanan Melayu bersekali dengan "perjuangan Islam".
Kini telahan Jomo itu semakin jelas.
Sudah tentu PAS tidak akan mahu mengakuinya, atau sekurang-kurangnya mengiyakan secara terbuka. Sebahagian besar orang PAS tentu menganggap percaturan mereka adalah semata-mata benar dan tidak ada yang tidak benar kecuali benar belaka.
Kerana itu jugalah orang ramai tidak perlu berasa aneh sangat apabila persekitaran parti itu kini dipenuhi dengan sikap bermusuh yang luar biasa melampaunya.
Lihat saja bagaimana ada sesetengah pihak bersikap bagi menghadapi berita keuzuran Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang dilaporkan ada masalah jantung.
"Dah mampus ke belum iblis ni?" tulis seseorang yang menyambut berita mengenai tersebut beberapa hari lalu di media sosial. Semakan umum menunjukkan individu terbabit merupakan seorang Muslimah.
"Raja Formula sakit jantung sekarang [...] tak payah doakan beliau," tulis seseorang yang lain pada tempat lain. Semakan menunjukkan dia seorang lelaki yang menerima dua kalimah syahadah sebagai pegangan.
Sudah tentu itu bukanlah kejadian yang terpencil. Ia juga sudah tentu bukan terhad kepada seorang dua individu terbabit saja. Jika mahu dan sedikit rajin, semaklah hantaran-hantaran atau komen yang ada bersepah-sepah di media sosial.
Akan dapat ditemui dengan mudah bukti mengenai busuknya hati, tengiknya jiwa dan jahatnya sikap sesetengah orang di negara ini. Dan lebih malang ia didorong oleh hanya perbezaan politik.
Tak rasa bersalah
Pada masa sama orang politik yang dipuja dan dikagumi itu nampaknya tidak ada masa walau sesaat pun untuk cakna, apa lagi menasihatkan pengikut mereka agar berhemah semasa berkata-kata.
Perseteruan kerana berbeza pandangan boleh saja berlaku pada bila-bila masa, namun semua itu ada batasnya. Berdepan dengan ujian hidup atau menghadapi kematian sepatutnya membuatkan seseorang yang waras menekan brek permusuhan lalu menjadi manusia yang sebenar.
Sudah adakah teguran dan nasihat diberikan?
Lebih malang lagi apabila antara komen tersebut dibuat sebagai reaksi kepada hantaran pihak pimpinan politik yang - lebih malang - tidak menunjukkan sebarang rasa kesal pun.
Adakah mereka sebenarnya rasa bahagia dan terhibur dengan kata-kata tersebut?
Sudah tentu jika perlu nanti, orang politik akan mendakwa akaun media sosialnya digodam. Maka akan selamatlah mereka untuk sementara waktu.
Dengan pendirian politik tertentu pula dengan mudah mereka akan disucikan oleh para pemimpin atasan.
Sebenarnya perseteruan dan sikap melampau sebegitu tidaklah datang begitu saja, sebaliknya 'diundang' oleh sesetengah orang sejak bertahun-tahun lalu.
Agamawan yang tidak rasa bersalah - malah bangga - mencarut dan memaki orang 'mengajar' di masjid, misalnya. Ia kemudian disambut pula oleh keceluparan orang politik di pentas-pentas ceramah.
Kedua-dua golongan terbabit berkelakuan begitu demi 'memaku' minat dan sokongan orang ramai saja. Lantaklah apa pun reaksi orang lain kerana di sana sini ada saja dalil untuk mensakralkan perbuatan tersebut.
Kecuali dibezakan oleh suasana pengaruh media sosial, tidakkah perseteruan melampau sekarang ini sedikit sebanyak menggambarkan langkah politik era 1980-an yang penuh dengan ketegangan dan permusuhan?
Dan era 1980-an itu pula bukanlah tempoh masa yang biasa-biasa.
Pada ketika itulah terbitnya 'fatwa' yang dilafazkan di Banggol Peradong, Terengganu. Dan jangan sesekali dilupakan juga hakikat bahawa kesan daripada 'fatwa' itu, bukan saja keharmonian tergugat, bahkan ada banyak darah yang ditumpahkan.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Artikel ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai