Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua termasuk CEO GLC didakwa subahat, terima rasuah RM350,000

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Dua individu iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Seremban hari ini atas pertuduhan bersubahat dan menerima suapan RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat dilantik melakukan kerja-kerja menaik taraf di Kompleks Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur.

Pertuduhan ke atas CEO iaitu Mohd Zamry Sulaiman, 52, dan Anuar Md Isa, 54, yang bekerja sendiri dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mohd Zamry didakwa bersubahat dengan Anuar secara rasuah menerima suapan wang RM250,000 dan RM100,000 daripada seorang lelaki sebagai upah membantu sebuah syarikat dilantik bagi melakukan kerja-kerja menaik taraf sistem mekanikal dan elektrikal di Kompleks Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bagi Tetuan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Senawang, Seremban pada 1 Jun dan 11 Okt 2022 mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa.

Anuar pula dituduh secara rasuah menerima suatu suapan iaitu wang berjumlah RM350,000 melalui cek daripada individu sama dalam akaun bank miliknya sebagai upah bagi membantu syarikat berkenaan bagi tujuan serupa di lokasi dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Fatin Farhana Ismail.

Mohd Zamry diwakili peguam A Ashok dan V Muniandy manakala peguam Azrul Zulkifli Stork mewakili Anuar.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di Pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan menetapkan 12 Dis untuk sebutan kes.

- Bernama