Skip to main
Logo Malaysiakini

Kata dua Hadi: Kalau PH tak bertindak, kami akan bertindak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | PN hari ini memberi amaran kepada kepada kerajaan supaya lebih peka dan tegas membela undang-undang syariah agar ia tidak dicabar oleh pihak tidak berkepentingan.

Membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata jika kerajaan gagal mempertahankan kekebalan undang-undang syariah, pembangkang akan mengambil alih kedudukannya.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi PN itu tidak menghuraikan lebih lanjut bagaimana mereka akan bertindak.

"Saya beri amaran kepada kerajaan PH oleh kerana ini menyentuh umat Islam, Allah dan Raja-raja. Saya beri peringatan kepada kerajaan supaya mengambil perhatian dalam perkara ini.

"Kalau PH tidak mahu bertindak, kami (PN) akan bertindak. Bagaimana kami nak bertindak, tunggu dan lihat," katanya.

Dakwa bekas duta khas bertaraf menteri itu, negara ini sedang dilanda "kemungkaran sangat dahsyat" apabila ada pihak yang dianggapnya mencabar undang-undang Islam.

Kata Abdul Hadi, PN berpendapat hukum Islam memiliki imuniti dan tak boleh dicabar, sama seperti institusi diraja.

"Apatah lagi (memang) disebut dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan berada di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu. Islam kepunyaan majoriti rakyat negara ini

"Sekarang ini pandai-pandai cabar Islam, cabar mahkamah syariah. Ini satu kerja yang orang Islam tidak boleh biarkan sekali-kali," katanya.

Abdul Hadi juga berkata jika perlu PN akan melawan sebarang usaha yang dianggap mencabar kedaulatan undang-undang syariah di mahkamah.

Pada masa sama Presiden PAS itu memberi jaminan bahawa PN tidak sesekali akan menafikan hak orang bukan Islam.

"Ini bukan bermakna kita menafikan hak orang bukan Islam, sebab dalam Perlembagaan Persekutuan kebebasan agama lain dijamin, ini dipersetujui parti yang terlibat dalam kemerdekaan," katanya.

Tidak dapat dipastikan kes apakah yang dirujuk oleh Abdul Hadi semasa mengemukakan perbahasan tersebut.

Bagaimanapun dia sudah berkali-kali menuduh PH "merungkai perlembagaan" dan "mencabar Islam" termasuk semasa gabungan itu menjadi kerajaan selepas PRU ke-14 pada 2018.

Terbaru Abdul Hadi mengulangi dakwaan berkenaan semasa menghadiri muktamar tahunan PAS di Shah Alam pada hujung minggu lalu.

"Sekarang ini, cabar undang-undang syariah ini mencabar umat Islam. Mencabar Allah, tuhan kita mencabar tuan nabi kita.

"Ini tak boleh dibiarkan kita wajib bangkit menentang usaha-usaha menyerang syariah ini.

"Inilah 3R yang sebenar tidak boleh dicabar," katanya.