Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO tuntut penjelasan kerajaan untuk tukar syarat lesen Lynas

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

Kumpulan alam sekitar menggesa kerajaan menjelaskan keputusan membenarkan Lynas mengekalkan kemudahan retak dan larut lesapnya di Gebeng, Kuantan.

Keputusan itu yang diumumkan semalam, bergantung pada cadangan Lynas untuk mengekstrak torium radioaktif daripada sisa proses Penulenan Lesap Air (WLP) sehingga ke tahap di mana residu yang tinggal tidak lagi memiliki radioaktif untuk dikawal sebagai sisa radioaktif.

Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet memberitahu Malaysiakini masih terdapat banyak persoalan yang belum dapat diselesaikan mengenai teknologi itu, termasuk sama ada ia boleh mengatasi skala operasi Lynas.

“Walaupun teknologi baru itu boleh mengekstrak torium, (ia) dilakukan di makmal. Adakah beliau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang) tahu berapa banyak sisa radioaktif WLP yang dihasilkan Lynas dalam setahun? Ia mungkin 76,000 tan.

"Bagaimana dia mengendalikan sejumlah besar sisa dan mengekstrak torium daripadanya?"

"Ini adalah soalan yang tidak dijawab dengan munasabah setakat ini," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Chang memberitahu sidang akhbar bahawa Lynas telah menghubungi kerajaan dengan cadangan untuk mengekstrak torium daripada sisa WLP, dan kerajaan mengesahkan kebolehlaksanaan teknologi itu melalui beberapa bulan penyelidikan.

Tan mempersoalkan sama ada kerajaan hanya mendengar cadangan berat sebelah Lynas atau sama ada satu pasukan ditubuhkan untuk membuat penilaian menyeluruh terhadap cadangan itu.

"Persoalan-persoalan ini belum diselesaikan, dan tidak dijelaskan secara terperinci," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM) Mageswari Sangaralingam menyatakan rasa pelik terhadap keputusan kerajaan dan menggesa agar isu itu dijawab secara telus.

Dia berkata keputusan itu berdasarkan penemuan kajian awal peringkat makmal yang menunjukkan bahan rqadioaktif daripada torium boleh diekstrak daripada residu WLP, dan menggesa agar kajian itu didedahkan kepada umum.

“Pembalikan keputusan kerajaan berdasarkan kajian awal ini sama sekali tidak meyakinkan atau memberi jaminan dari segi kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar.

“Kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dan telus dalam hal ini dan Kementerian perlu menjelaskan butir-butir penyelidikan tersebut.

“Ia jelas dari orientasi kerajaan untuk menjana wang daripada industri nadir bumi tetapi ini tidak harus menjejaskan kesihatan rakyat dan alam sekitar,” katanya.

[Baca berita penuh]