Skip to main
Logo Malaysiakini

Danial tawar diri jadi ketua Pemuda Amanah Nasional

Artikel ini sudah 8 bulan diterbitkan

WAWANCARA | Ketua Pemuda Amanah Selangor, Danial Al Rashid Haron Aminar Rashid, berminat untuk menggalas jawatan lebih besar di peringkat pusat jika mendapat kepercayaan perwakilan sayap itu Nov ini.

Danial yang juga Adun Batu Tiga di Shah Alam berkata dia yakin mampu meletakkan Pemuda Amanah Nasional sebagai sayap yang lebih berkesan dan disegani.

"Jika terpilih dan diberikan tanggungjawab, saya ingin menumpukan usaha memperkuat Pemuda Amanah," katanya.

Pada masa sama Danial berharap langkah diambilnya itu tidak membawa kepada perpecahan dalam kalangan ahli Pemuda Amanah terutama selepas berakhirnya pemilihan nanti.

Katanya dia menyerahkan kepada pertimbangan perwakilan untuk menyambut tawaran berkenaan yang dibuat melalui amalan demokrasi.

Menurut anak kepada seniman Allahyarham Harun Salim Bachik itu juga berkata, ahli Amanah berhak memilih sesiapa saja yang dianggap mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua.

"Kita tak boleh tutup pintu demokrasi," katanya lagi.

Elak bepuak-puak dalam parti

Untuk rekod pemilihan untuk jawatan dalam parti Amanah berbeza daripada kebanyakan pertubuhan politik lain.

Berbanding dipilih secara langsung, dalam Amanah pelantikan ketua dibuat melalui musyawarah dalam kalangan sekumpulan calon yang mendapat undi tertinggi.

Pemilihan jawatankuasa Pemuda Amanah Nasional akan dijalankan dengan setiap kawasan mencalonkan 27 orang ahli ke peringkat nasional. Mereka kemudian akan dipilih oleh perwakilan di konvensyen sebelum 27 calon tertinggi bermesyuarat pula untuk melantik ketua dan jawatan lain.

Ketika ini Pemuda Amanah Nasional diketuai Hasbie Muda.

Walaupun menawarkan diri untuk jawatan lebih tinggi di peringkat nasional, Danial berkata, dia menolak amalan menyediakan cai bagi memastikan tempat dalam sayap parti.

"Biasanya setiap kali pemilihan akan muncul kem tertentu, tetapi saya tak mahu wujud budaya begitu kerana ia akan menyebabkan pergeseran," katanya yang ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Adun Batu Tiga di Shah Alam semalam.

Danial terpilih sebagai wakil rakyat selepas menewaskan bekas menteri, Rina Harun dari PN, dan Syaidiyah Izzati Nur Razak (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri Selangor pada 12 Ogos lalu.

Dia mengalahkan calon lain dengan kelebihan 3,382 undi.

Kemenangan tersebut dianggap memberi kelebihan kepada Danial untuk ditempatkan ke jawatan lebih kanan dalam Amanah.