Skip to main
Logo Malaysiakini

Peguam Loh percaya dijemput ke muktamar sebab pertahan PAS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peguam Shamsher Singh Thind mengesahkan kehadirannya di Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 19 Oktober lalu namun menjelaskan dia tidak dimaklumkan secara rasmi berkenaan sebab dia dijemput.

Bagaimanapun Shamser percaya jemputan itu kerana sebelum ini dia membantu membersihkan nama PAS dan membetulkan salah faham berkenaan dasar parti itu, khususnya dalam kalangan orang bukan Islam.

"Fakta ini diakui sendiri oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad semasa beliau berucap di Konvensyen Ke-8 Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) yang berlangsung pada 15 Okt di Shah Alam," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan bekas suami Loh Siew Hong menyatakan rasa terkejut apabila melihat Shamsher, yang merupakan peguam Loh dalam kes hak penjagaan tiga anak mereka, menjadi tetamu di muktamar PAS hujung minggu lalu.

Muhammad Nagahswaran Muniandy berkata, selain berasa kecewa dia juga tertanya-tanya apa motif PAS di sebalik jemputan tersebut.

Muhammad Nagahswaran

Selain itu seorang aktivis dakwah yang turut terbabit dengan kes itu, Nazirah Nanthakumari Abdullah juga menyatakan rasa terkejut dan tertanya-tanya dengan langkah PAS.

"Mereka kata, sepatutnya orang yang berjuang untuk Islam atau NGO berkaitan dakwah Islam yang dijemput sebagai tetamu PAS," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu Shamsher berkata Nagahswaran dan Nazirah telah menggambarkan dirinya sebagai seorang yang anti-Islam dan tidak sesuai dijemput ke muktamar PAS.

"Ini adalah fitnah terhadap diri saya dan tindakan undang-undang bakal diambil terhadap mereka," katanya lagi.

Berikut adalah kenyataan penuh Shamsher Singh Thind sebagai respon terhadap laporan Malaysiakini:

Saya mengesahkan bahawa saya hadir sebagai tetamu di Muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung pada 19 Oktober 2023 di IDCC, Shah Alam. Namun saya tidak dimaklumkan secara rasmi tujuan saya dijemput.

Saya percaya jemputan itu mungkin dibuat kerana sedikit sebanyak saya telah membantu membersihkan nama PAS serta membetulkan salah faham yang wujud berkenaan dengan polisi parti tersebut, khususnya dalam kalangan orang bukan Islam, melalui hantaran saya di Facebook dan X (Twitter).

Fakta ini diakui sendiri oleh Naib Presiden PAS Idris Ahmad semasa beliau berucap di Konvensyen Ke-8 Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) yang berlangsung pada 15 Oktober 2023 di De Palma Hotel, Shah Alam.

Nagahswaran tidak mempunyai social standing untuk menyoal Dewan Pemuda PAS atau menuduh saya "mengambil anaknya untuk tinggal bersama keluarga bukan Islam". Sebaliknya dia harus menyoal dan menyalahkan diri sendiri.

Nagahswaran bukan sahaja mempunyai pengetahuan mengenai prosiding perceraian yang difailkan oleh Loh Siew Hong di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Keluarga), malah dia juga telah melantik seorang peguam untuk mewakilinya.

Bagaimanapun, semasa prosiding tersebut masih berterusan, dia membawa ketiga-tiga anaknya ke Perlis pada 7 Julai 2020 untuk didaftarkan sebagai mualaf tanpa pengetahuan atau kebenaran Loh. Dia juga pada 12 Julai 2020 memecat peguamnya dengan memfailkan notis untuk bertindak sendiri dalam prosiding perceraian tersebut tetapi dia langsung tidak kembali ke mahkamah selepas itu.

Untuk makluman, Loh diberi hak penjagaan, jagaan, pemeliharaan dan kawalan tunggal (sole guardianship, custody, care and control) ketiga-tiga anaknya sebanyak empat kali oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Keluarga), iaitu melalui Perintah Interim (Ex-Parte) bertarikh 20 Disember 2019, Perintah Ad- Interim bertarikh 7 Januari 2020, Perintah (Inter-Partes) bertarikh 8 Oktober 2020 dan Perintah Muktamad bertarikh 31 Mac 2021.

Nagahswaran gagal mencabar dan mengubah atau mengetepikan perintah-perintah tersebut, sebaliknya menyalahgunakan agama Islam demi mengecewakan proses undang-undang yang sah.

Lebih teruk lagi, menurut pegawai yang mengendalikan proses pendaftaran mualaf ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, Nagahswaran telah berbohong kepadanya bahawa dia (Nagahswaran) tidak tahu di mana keberadaan Loh ketika itu. Dia juga langsung tidak memaklumkan pegawai tersebut bahawa dia tidak lagi mempunyai hak jagaan atas ketiga-tiga anaknya ketika itu.

Oleh itu, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian jenayah) dalam prosiding habeas corpus, dalam mana ketiga-tiga kanak-kanak tersebut diserahkan kepada Loh, adalah selaras dengan kehendak perintah-perintah tersebut.

Walau apa pun, sehingga hari ini, tiada rayuan difailkan oleh mana-mana pihak berkenaan dengan keputusan tersebut.

Selain itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian keluarga) pada 4 April 2023 menghukum Nagahswaran dengan mengenakan denda sebanyak RM20,000 kerana dia tidak mematuhi perintah-perintah tersebut.

Dia membayar denda tersebut dan tidak memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Selanjutnya, pada ketika ini, Nagahswaran berdepan dengan tuduhan bawah seksyen 326, dibaca bersama seksyen 326A, Kanun Keseksaan dalam Mahkamah Sesyen di Sungai Petani kerana memukul Loh pada 3 Mac 2019 dengan mengunakan tukul besi sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Tarikh sebutan akan datang kes ini ditetapkan pada 19 November 2023 di hadapan hakim Roslan bin Hamid.

Saya berpendapat bahawa Nagahswaran, serta Nazirah Nanthakumari Abdullah, telah menggambarkan saya sebagai seorang anti-Islam,dan oleh sebab itu saya – menurut mereka – tidak sesuai dijemput oleh Dewan Pemuda PAS.

Ini adalah fitnah terhadap diri saya, dan tindakan undang-undang bakal diambil terhadap mereka.

Walaupun saya bukan beragama Islam, saya sentiasa menerima kedudukan istimewa agama Islam di Malaysia, seperti mana yang termaktub dalam Perkara 3 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan.

Malah, saya juga menerima hakikat bahawa Hukum Syarak ialah sebahagian daripada sistem perundangan di Malaysia. Oleh yang demikian, saya telah mengikuti dengan jayanya kursus Diploma in Syariah and Legal Practice (DSLP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021, sebagai satu langkah kecil dalam usaha saya mempelajari undang-undang Syariah.