Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Prasarana mula bangunkan sistem bayaran terbuka tahun depan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PARLIMEN | Prasarana Malaysia Bhd (Prasana) akan memulakan kerja mereka dan membangunkan sistem "pembayaran terbuka" pada Mac tahun depan, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata, sistem itu akan membolehkan orang ramai menggunakan kad kredit dan debit ketika menggunakan perkhidmatan bas dan kereta api Prasarana di Lembah Kelang, selain kaedah pembayaran kad Touch-n-Go dan token sedia ada.

"Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan (bermula Mac tahun depan) iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

"Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berkenaan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka untuk pengangkutan awam di Lembah Kelang, terutama LRT, MRT dan bas Rapid KL.

Mengulas lanjut, Loke berkata sistem itu, yang telah dilaksanakan di kota seperti London dan Sydney, sistem itu akan terus dikembangkan - jika perlu - untuk kaedah pembayaran lain seperti Kod QR.

Dia juga berkata langkah menaik taraf sistem tiket KTMB, iaitu automatic fare collection AFC), kini hampir selesai.

"Kesemua 57 stesen komuter KTMB di Lembah Kelang dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, debit dan Touch-n-Go serta Kod QR melalui aplikasi KTMB (KITS)," katanya lagi.